Insas Bhd lepaskan pegangan 197.35 juta saham dalam Omesti Bhd, Teguh Sedaya ambil alih 302.92 juta saham

TechnologyBusiness & Finance
31 Dec 2025 • 9:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Insas Bhd lepaskan pegangan 197.35 juta saham dalam Omesti Bhd, Teguh Sedaya ambil alih 302.92 juta saham image is not available haziq31/12/2025 - 09:23 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 31 Dis – Insas Bhd tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Omesti Bhd susulan pelupusan pegangan sebanyak 8.5% baru-baru ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Insas melupuskan 197.35 juta saham bersamaan 8.5% kepentingan pada Isnin. 

 

Pelupusan itu mengurangkan pegangan Insas dalam Omesti kepada 4.638%, iaitu di bawah paras 5% yang melayakkan status sebagai pemegang saham utama.

 

Dalam makluman berasingan, Omesti memaklumkan Teguh Sedaya Sdn Bhd meningkatkan pegangan kepada 14.07% selepas memperoleh 302.92 juta saham bersamaan 13.04% kepentingan, menerusi pelaksanaan penempatan persendirian.

 

Menurut Omesti, penempatan persendirian yang baru selesai itu, bersama terbitan hak yang mencatat kadar langganan 60%, merupakan sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat.

 

Pegangan Insas dalam Omesti adalah sepenuhnya secara tidak langsung, dengan entiti berkaitan Insas melupuskan keseluruhan 8.498% kepentingan. 

 

Daripada jumlah itu, Microlink Solutions Bhd yang dimiliki 17.18% oleh Omesti melupuskan 85 juta saham atau 3.66%, diikuti Gryphon Asset Management Sdn Bhd sebanyak 50.32 juta saham (2.17%), Insas Plaza Sdn Bhd sebanyak 39.63 juta saham (1.71%), Montego Assets Ltd sebanyak 15.4 juta saham (0.66%) dan Winfields Development Pte Ltd sebanyak tujuh juta saham (0.3%).

 

Data luar pasaran Bloomberg menunjukkan empat blok transaksi melibatkan keseluruhan 112.35 juta saham diniagakan pada harga 8.3 sen sesaham manakala satu lagi blok melibatkan 85 juta saham pada harga 10 sen sesaham. 

 

Secara keseluruhan, 197.35 juta saham itu diniagakan pada nilai RM19.06 juta.

 

Susulan transaksi berkenaan, Timbalan Pengerusi Omesti, Datuk Seri Thong Kok Khee yang juga pengasas Insas menyaksikan pegangan tidak langsungnya dalam Omesti susut kepada 4.639%.

 

Setakat ini, pemegang saham utama Omesti terdiri daripada pengasasnya Datuk Mah Siew Kwok dengan pegangan langsung 15.8%, Kenanga Yield Enhancement Fund (9.04%), serta pengarah eksekutif Monteiro Gerard Clair dengan 4.9% pegangan langsung dan 2.86% pegangan tidak langsung.

 

Dalam perkembangan berasingan, Omesti mencatat kerugian bersih sebanyak RM79.11 juta bagi tempoh satu bulan berakhir 31 Oktober, dipengaruhi oleh pelarasan nilai ke atas pelaburan lain, kos kewangan daripada penyelesaian awal saham keutamaan boleh tebus, serta perbelanjaan berkaitan cadangan korporat.

 

Hasil bagi tempoh sama berjumlah RM8.68 juta. 

 

Syarikat itu turut menukar tarikh akhir tahun kewangannya daripada akhir September kepada akhir Oktober bagi menampung penyempurnaan latihan korporat utama yang disasarkan pada 15 dan 31 Oktober 2025, selaras dengan usaha memperkukuh kunci kira-kira serta dana pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard