Insiden bot terbalik: Mayat suami isteri ditemui

8 Jun 2025 • 11:02 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang diteruskan pada hari ini berjaya menemukan dua mangsa.

image is not available
Pasukan penyelamat sebelum ini menjalankan usaha menaikkan bot yang terbalik dalam insiden meragut lima nyawa pada Jumaat itu.

PELABUHAN KLANG – Mayat pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang dalam insiden bot terbalik di perairan Tanjung Harapan di sini ditemui pada pagi Ahad.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Mohd Syafiq Sazali berkata, mayat dua mangsa itu ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan seawal jam 7 pagi.

Beliau berkata, kedua-dua mayat ditemukan sekitar jam 7.45 pagi oleh aset yang sedang melakukan rondaan di kawasan berhampiran Pusat Hidrografi Nasional di sini.

"Kapal Maritim Danga telah menemui mayat seorang wanita dan melakukan pemulihan ke atasnya, manakala pasukan bomba turut menurunkan aset dan berjaya menemui mayat seorang lelaki.

"Kedua-dua mayat ditemukan terapung, dengan jarak antara satu sama lain sekitar 200 meter," katanya pada Ahad.

**media[3156616]**

Beliau berkata, jarak lokasi penemuan mayat dengan Pusat Hidrografi Nasional dianggarkan 0.1 batu nautika.

"Kedua-dua mayat telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi SAR telah ditamatkan pada jam 9.50 pagi hari ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi tiga hari tersebut termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Operasi yang dikendalikan oleh Maritim Malaysia akan ditamatkan setelah menerima arahan rasmi.

"Semua aset yang terlibat kini telah kembali ke pangkalan dengan selamat," tambahnya.

Beliau turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan memakai jaket keselamatan semasa menjalankan sebarang aktiviti di laut.