Insiden Jeti Usang Roboh, KPM 'Bincang' Penambahbaikan Infrastruktur

31 Jan 2023 • 11:39 AM MYT
Rileklah
Rileklah

Lifestyle & travel news. Malaysian-style travel, tips, food, hotel and more!

image is not available

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat bagi membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti Kampung Papabag, Semporna, Sabah yang roboh hari ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, sesi libat urus bagi membincangkan penambaikan kemudahan infrastruktur itu dijalankan bagi memastikan kejadian seumpanya tidak berulang.

“KPM ingin merujuk kepada insiden jeti roboh di Kampung Papabag, Semporna, Sabah yang melibatkan lebih kurang 25 orang murid sekolah termasuk murid tabika KEMAS dan dua orang guru Sekolah Kebangsaan Pulau Papabag pada pukul 6.45 pagi.

“Sebagai makluman, laporan awal diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.

“Akibat daripada runtuhan tersebut, dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat,” katanya tadi.

KPM berkata, pihaknya melalui PPD Semporna juga telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.

“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan selain keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.

“Usaha memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan.

“KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE