Insiden kebakaran Putra Heights: Polis sedia buka siasatan bila-bila masa

LocalPolitics
1 Jul 2025 • 3:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussein Omar. Foto Bernama

SHAH ALAM - Polis bersedia membuka semula siasatan pada bila-bila masa sekiranya menerima sebarang keterangan baharu berkaitan insiden letupan saluran gas Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

"Siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur yang menunjukkan terdapat unsur jenayah atau sabotaj jadi kita klasifikasikan kes itu sebagai NFA.

"Sekiranya ada bukti ataupun keterangan baru yang boleh membantu pihak polis, kita akan buka semula siasatan itu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Selasa.

Hussein berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan untuk menyalurkannya ke pihak polis.

Polis sebelum ini mengesahkan tiada sebarang unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dikenal pasti sehingga boleh menyebabkan kerosakan kepada paip gas dan mencetuskan letupan dalam insiden di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas.

Hussein berkata, rumusan berkenaan diperoleh hasil siasatan teknikal yang dilakukan susulan insiden letupan saluran paip gas bawah tanah itu.

Jelas beliau, pembinaan lot kedai pejabat dan penggantian paip pembentung di kawasan kejadian mengikut garis panduan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Petronas.