
IPOH: Siasatan polis mendapati tiada unsur sabotaj setakat ini dalam insiden kecurian kabel dan komponen lampu limpah yang berlaku di Stadium Perak di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan masih lagi diteruskan dan pihaknya telah menghantar beberapa sampel barang kes ke pejabat kimia untuk dianalisa.
“Rakaman percakapan telah dilakukan terhadap beberapa saksi. Pemeriksaan terhadap premis barang-barang lusuh turut dijalankan untuk tindakan,” katanya secara ringkas menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya menyerahkan kepada polis bagi melakukan siasatan secara terperinci dalam hal berkenaan.
Jumaat lepas, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengesahkan berlaku kecurian kabel dan komponen lampu limpah di Stadium Perak dan siasatan mendapati hampir keseluruhan kabel telah dipotong serta komponen lampu limpah telah dicuri dengan anggaran kerugian sebanyak RM135,000.
Stadium Perak merupakan lokasi bagi perlawanan aksi pembukaan Liga Super 2023, antara Perak FC dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang dijadualkan Sabtu ini. - Bernama


