Insiden Letupan Bunga Api Di Kulim – KDN

LocalPolitics
22 Oct 2025 • 1:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Insiden Letupan Bunga Api Di Kulim – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan kejadian letupan bunga api yang berlaku di kawasan Paya Besar, Kulim, Kedah, pada 20 Oktober lalu sekitar pukul 2.30 pagi.

Insiden itu dilaporkan berlaku ketika orang ramai sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di kawasan berkenaan.

Letupan tersebut mengakibatkan 22 orang cedera, dengan sebahagian mangsa kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Menurut kenyataan KDN, siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan untuk dijual kepada orang awam.

KDN menegaskan bahawa penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun yang tidak diluluskan adalah dilarang di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Susulan kejadian itu, dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan juga sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

KDN turut memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

Ini termasuk penarikan semula kelulusan terhadap syarikat pengendali bunga api yang gagal mematuhi garis panduan keselamatan.

Kementerian itu turut mengingatkan orang awam dan penganjur aktiviti keramaian supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan ditetapkan oleh KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kenyataannya, KDN merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa serta keluarga mereka, selain mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.

Bagi mengelakkan kejadian serupa berulang, KDN bersama PDRM akan terus memperketat pemantauan sepanjang musim perayaan, di samping menyeru semua pihak agar mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.

KDN menegaskan pihaknya komited memperkukuh keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Sumber: KDN