Insiden Menimpa Safiq Rahim, JDT Tingkatkan Keselamatan Pemain

8 May 2024 • 9:52 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) meluahkan rasa risau dengan insiden yang melibatkan pemain bola Safiq Rahim, dimana kereta beliau telah diserang berhampiran Pusat Latihan JDT.

Menerusi laman Instagram @officialjohor, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards menegaskan pihaknya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat perkara ini dengan segera.

“Insiden itu, bersama dengan serangan ke atas Akhyar Rashid dan Faisal Halim baru-baru ini, tidak mempunyai tempat dalam dunia bola sepak. Disebabkan kes-kes terkini, JDT telah meningkatkan lagi keselamatan para pemain kami sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kami juga telah menasihatkan para pemain kami untuk berhati-hati dengan persekitaran dan hantaran-hantaran mereka pada media sosial pada setiap masa,” tulisnya pada Selasa.

image is not available

Foto: Harian Metro

Terdahulu, cermin kereta bekas ketua pasukan skuad bola sepak kebangsaan itu dipecahkan oleh individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan (JDT), di Sri Gelam, Johor Bahru, malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 10.05 malam itu dikongsikan oleh Safiq menerusi akaun media sosial Instagram dan memaklumkan sudah membuat laporan polis selepas bimbang dengan keselamatan dirinya.

Insiden itu berlaku tiga hari selepas Faisal Halim disimbah asid dan seorang lagi pemain, Akhyar Rashid pula disamun dan diserang minggu lalu.

Dalam pada itu, polis sedang giat mengesan suspek yang memecahkan cermin kereta pemain berusia 36 tahun itu.