Insiden Pokok Krismas Jatuh Hempap Pelanggan, Pihak Pavilion KL Mohon Maaf

26 Dec 2023 • 10:12 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sama seperti negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali dalam meraikan perayaan Hari Krismas. Ia dapat dilihat apabila perayaan itu juga diraikan sama meriahnya seperti sambutan perayaan utama yang lain.

Antara yang biasa dilihat adalah hiasan pokok krismas di kebanyakan pusat membeli belah utama yang sering menjadi tarikan pengunjung.

Namun, siapa sangka, hiasan tersebut boleh memberikan pengalaman pahit kepada segelintir individu.

Pokok Krismas Tergantung Jatuh, Hempap Kepala Pelanggan

Semalam (25 Disember), seorang warga Singapura yang dikenali sebagai Julius Lee mengalami detik cemas apabila hiasan pokok Krismas yang tergantung di salah sebuah pusat membeli belah jatuh dan menghempap kepalanya.

Kejadian berlaku ketika dia sedang mengambil gambar isteri, Aileen Tan dan anaknya ketika berkunjung ke pusat beli-belah tersebut.

“Suami saya berada di luar merry go round untuk mengambil gambar saya dan anak. Secara tiba-tiba hiasan pokok krismas jatuh. Memang terkejut dan tak jangka sama sekali. Ia berlaku sangat pantas.

“Mujur anak bersama saya. Kalau dia dalam stroller, mesti dia pun kena sama. Cuma dia terkejut dan terus menangis,” kata isterinya.

Alami Bengkak Di Kepala

Menurut Aileen, suaminya mengalami bengkak di kepala dan dibawa ke klinik oleh pengurusan pusat beli belah terbabit.

Dia dan keluarganya berada di Malaysia sejak Rabu (20 Disember) yang lalu bagi menyambut sambutan Krismas.

“Kami datang untuk menyambut Krismas. Hari ini memang merancang untuk berjalan-jalan di dalam pusat beli-belah ini. Malangnya, lain pula yang terjadi,” katanya lagi.

Pavilion KL Mohon Maaf

Ekoran daripada kejadian ini, pihak Pavilion Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan semalam (25 Disember), memohon maaf atas insiden yang berlaku kepada pelanggan tersebut.

Tambah mereka lagi, hiasan pokok krismas itu telah ditanggalkan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang kembali serta pemeriksaan dengan teliti terhadap semua hiasan Krismas sedia ada telah dijalankan.

“Sewaktu kejadian, pihak kami memberikan respons secepat mungkin. Pelanggan tersebut juga telah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

“Disebabkan insiden tersebut, mangsa mengalami luka ringan. Kami masih lagi berhubung dengan keluarga mangsa untuk memastikan kesihatannya terus terjaga.

“Kami berharap semua pengunjung tidak akan risau. Kami memastikan keselamatan semua tetap terjaga di musim perayaan ini,” katanya.

Source: