Insiden Polis Tarik & Pijak Kepala Penunggang Motosikal: Menteri KDN Arah PDRM Siasat Pematuhan SOP

LocalPolitics
21 Apr 2026 • 2:13 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Insiden Polis Tarik & Pijak Kepala Penunggang Motosikal: Menteri KDN Arah PDRM Siasat Pematuhan SOP

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Video tular yang memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal ditarik dan dipijak kepala oleh seorang anggota polis di Jalan Tunku Putra, Kulim, Kedah semalam (20 April) nyata mendapat perhatian.

Ramai yang mengecam serta mempersoal adakah dibenarkan tindakan sebegitu dilakukan oleh anggota berkenaan.

Polis ada SOP ketika jalankan tugas

Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarah untuk menjalankan siasatan bagi meneliti kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kejadian terbabit.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau telah menghubungi Ketua Polis Kedah berhubung insiden berkenaan.

“Sebarang tindakan penguatkuasaan oleh pegawai polis, mereka sudah ada satu SOP yang sedia maklum oleh semua anggota polis yang menjalankan tugas mereka.

“ Saya menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan, semak sama ada ada kepatuhan tatacara dari segi penguatkuasaan (dipatuhi),” katanya dipetik Buletin Utama.

Jelas Saifuddin lagi, sebarang tindakan yang akan diambil bergantung kepada hasil siasatan.

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak membuat penilaian terburu-buru berdasarkan klip video pendek di media sosial.

“Jika perlu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan dilibatkan untuk menilai sama ada terdapat sebarang pelanggaran. Namun, kita perlu meneliti semua aspek secara menyeluruh terlebih dahulu. Apa yang kita lihat hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan insiden. Kita juga perlu mengambil kira apa yang berlaku sebelum itu. Adakah suspek bertindak agresif? Adakah dia melawan arus? Adakah terdapat cubaan merempuh kenderaan polis? Semua faktor ini perlu disiasat.”

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

Tegas Saifuddin lagi, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan akauntabiliti tanpa menjejaskan moral anggota polis.

Sehubungan itu, sebarang tindakan tidak boleh diputuskan secara melulu kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan semangat penjawat awam yang bertugas khususnya ketika berdepan suspek berpotensi agresif.

Kes disiasat JIPS, anggota terlibat telah ditukar bahagian

Memetik Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng memaklumkan siasatan berhubung pematuhan SOP sewaktu tangkapan dibuat akan dijalankan oleh JIPS.

Jelas Tengku Mohd Faisal, anggota polis terlibat telahpun ditukar ke Bahagian Pentadbiran sementara menunggu siasatan oleh pihak JIPS.

Pada masa yang sama, penunggang motosikal itu kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Khamis (23 April) bagi membantu siasatan.

Terdahulu Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng mengesahkan insiden tular tersebut adalah berkaitan dengan operasi ronda cegah jenayah.

“Sewaktu hendak menahan suspek, berlaku pergelutan apabila suspek bertindak melawan anggota dengan menendang motosikal milik anggota polis dan melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melulu, melawan arus dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Bagaimanapun anggota polis berjaya mengesan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal, Jalan Tunku Putra dan menahannya tidak lama kemudian,” katanya.

Hasil pemeriksaan terhadap motosikal yang ditunggang oleh suspek berusia 32 tahun mendapati terdapat dua bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air rebusan ketum dan suspek kemudiannya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Baca Artkel Berkaitan:

Tular Video Ditarik & Dipijak Di Kepala: Lelaki Tunggang Motosikal Secara Berbahaya & Positif Dadah – Polis