INSKEN saran usahawan kuasai teknologi digital hadapi krisis global

Business & FinanceStartup
19 Apr 2026 • 6:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: INSKEN saran usahawan kuasai teknologi digital hadapi krisis global
Mustaffa (dua dari kanan) menyantuni barisan jawatankuasa DPMM Perak sempena Program Forum Niaga Madani 2026 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 DPMM Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh pada Ahad.
Image from: INSKEN saran usahawan kuasai teknologi digital hadapi krisis global
Mustaffa (tengah) bersama barisan jawatankuasa DPMM Perak sempena Program Forum Niaga Madani 2026 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 DPMM Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh pada Ahad.

IPOH - Usahawan khususnya Bumiputera disaran terus memperkasakan keupayaan dalam bidang digital termasuk kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub berkata, bahawa penguasaan teknologi digital bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam memastikan kelangsungan perniagaan.

“Dalam konteks negara ini, saya fikir kita tiada pilihan. Kita perlu menguasai AI, pemasaran digital termasuk sistem pemasaran baharu seperti agentic marketing system yang semakin berkembang ketika ini.

“Saya yakin usahawan Melayu mampu ke hadapan dalam bidang ini jika diberikan pendedahan dan sokongan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Forum Niaga MADANI 2026 dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-11 Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh, di sini, pada Ahad.

Hadir sama Naib Presiden DPMM, Amirhamzah Karim dan Yang Dipertua DPMM Perak, Datuk Ir. Ts. Kamarulmaffie Ahmad.

**media[3496084]**

Mustaffa berkata, bahawa Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri dalam menghadapi cabaran ekonomi global susulan hubungan perdagangan yang seimbang dengan pelbagai kuasa dunia di negara Barat dan Timur termasuk Amerika Syarikat, China, India serta negara Timur Tengah.

"Saya yakin dengan pendekatan seimbang kerajaan, kita mampu menangani cabaran ekonomi ini dengan cara yang terbaik.

"INSKEN akan memainkan peranan yang proaktif dalam hal ini, membantu para usahawan kita ke hadapan menangani cabaran ekonomi global," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa INSKEN sedang memperkemas data berkaitan tahap penglibatan usahawan Bumiputera dalam ekonomi digital bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat dan berkesan kepada mereka yang terkesan.

"Dalam mesyuarat bersama pengurusan kanan INSKEN minggu depan, saya akan memaklumkan perkara ini supaya data berkaitan dapat diperoleh secepat mungkin," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bahawa kerjasama strategik antara INSKEN dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan terus diperkukuh termasuk melalui pelaksanaan Pusat Rujukan Inklusif Usahawan MADANI (PRIME).

Jelasnya, PRIME ini berfungsi sebagai pusat sehenti atau one-stop centre yang menggabungkan pelbagai agensi termasuk Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) bagi membantu usahawan mendapatkan bimbingan, maklumat serta sokongan ekosistem keusahawanan.

“Kita mahu pusat ini diwujudkan di setiap negeri dan diperluaskan ke peringkat daerah supaya usahawan mempunyai akses yang lebih dekat dan berterusan,” katanya.

View Original Article