Insta360 Ace Pro 2 Rasmi Dengan Rakaman 8K Dan Bateri Besar

TechnologyDigital
22 Oct 2024 • 11:14 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Insta360 baru sahaja melancarkan kamera aksi baharu melalui Ace Pro 2. Ia direka bersama lensa Leica yang juga mampu memberikan kualiti rakaman 8K/30FPS. Kemudian turut dianggap boleh memberi persaingan kepada DJI Osmo Action 5 Pro dan GoPro HERO13 Black yang diumumkan tempoh hari.

image is not available

Insta360 Ace Pro 2 telah direka dengan baik melalui beberapa peningkatan menarik. Misalnya seperti sensor 50MP 1/1.3″ serba baharu dengan sudut pandang 157° lebih besar berbanding Ace Pro. Sensor ini juga menawarkan julat dinamik 13.5-stop dengan kemampuan merakam video 8K30FPS atau 4K60FPS dengan mod HDR diaktifkan. Selain itu mempunyai dua pemproses 5nm berasingan dengan satunya dikhaskan untuk pemprosesan imej, sementara itu satu lagi bagi mengurus prestasi keseluruhan kamera.

image is not available

Mod khusus seperti PureVideo yang membolehkan pengguna merakam dalam pencahayaan rendah turut dipertingkatkan kepada 4K60FPS untuk prestasi lebih baik. Terdapat juga ciri lain seperti Gesture & Voice Control, Auto Edit, dan AI Highlights Assistant diberikan bagi tujuan perkongsian kandungan ke media sosial yang lebih menarik serta mudah. Keseluruhan tubuh juga tahan lasak dan melepasi piawaian kalis air sehingga kedalaman 12-meter dan sehingga 60-meter menggunakan aksesori kerangka menyelam. Di samping mampu bertahan dalam pelbagai keadaan termasuk suhu diantara -20ºC hingga 45ºC.

image is not available

Ace Pro 2 juga didatangkan dengan Wind Guard yang berfungsi sebagai pelindung untuk mikrofon bagi mengurangkan bunyi hingar lalu meningkatkan kejelasan audio. Di samping penutup mikrofon dan kanta boleh ditangalkan yang lebih tahan lasak serta calar. Selain itu bateri 1,800mAh lebih besar digunakan dengan ketahanan hingga 180 minit. Kemudian boleh dicas semula sehingga 80% dalam hanya 18 minit.

Harga jualan adalah bermula RM1,899 untuk berkas standard yang mengandungi kabel type-C, mount, bateri, penutup mikrofon, dan kad SD. Ia kemudian meningkat kepada RM1,999 pula dengan tambahan dua bateri diberikan untuk setiap pembelian.