Insta360 memperkenalkan dua kamera web baharu iaitu Link 2 Pro dan Link 2C Pro dengan penawaran lebih baik berbanding generasi sebelum. Kedua-duanya berkongsi sebahagian besar spesifikasi utama. Namun, Link 2 Pro hadir dengan sokongan gimbal 2-axis manakala Link 2C Pro tidak menyokongnya.

Kedua-dua model ini hadir dengan sensor lebih besar berukuran 1/1.3 inci sekali gus sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Teknologi Dual Native ISO HDR terbina boleh memastikan cahaya terang dan bayang gelap dipaparkan secara seimbang. Selain itu, Dual-Microphone dengan Directional Pickup pula membolehkan suara pengguna didengari dengan jelas sambil menyingkirkan bunyi luar.


Fungsi pintar lain turut tersedia termasuk AI Tracking dan Auto Framing yang boleh digunakan sama ada untuk individu atau berkumpulan. Bagi Link 2 Pro, ia menawarkan kawalan tambahan dengan penjejakan zon tertentu bagi tujuan privasi.
Pengguna juga boleh mengawal kamera melalui gerakan tangan, perisian Link Controller atau telefon pintar. Selain itu, ia menyediakan mod pintar dengan AI Noise Reduction sekali gus meningkatkan kualiti audio serta serasi digunakan bersama Insta360 Wavelink Pro untuk padanan bunyi yang lebih mantap.

Terdapat juga Whiteboard Mode berasaskan AI, Deskview Mode untuk paparan meja dan Portrait Mode bagi rakaman menegak untuk media sosial. Ciri baharu Insta360 Insight – AI Meeting Assistant turut bantu menyediakan transkripsi, ringkasan, penanda isi penting serta draf automatik untuk e-mel atau laporan. Untuk privasi, kamera ini turut dilengkapi penutup khas.


