Instagram sedang menguji ciri baharu dikenali sebagai Lockable Post. Ia membolehkan pengguna mengunci kandungan mereka, sama ada gambar atau video mengguna kod rahsia. Untuk melihat kandungan tersebut, kenalan atau pengikut lain perlu memasukkan kod ditetapkan dengan betul.
Kod rahsia ini boleh ditetapkan menggunakan pelbagai bentuk dan konteks bergantung pada pemilik akaun. Misalnya seperti cubaan kami dalam tangkap layar di bawah mendapati pemilik akaun telah menetapkan kod rahsia menggunakan tanda tagar pertama dalam kapsyen disertakan.

Pendekatan ini menarik, yang juga boleh digunakan dalam kalangan jenama produk untuk menawarkan tawaran eksklusif, serta kandungan khas buat pelanggan setia. Dalam keadaan sedemikian, ia secara tidak langsung turut bantu meningkatkan komunikasi dalam kalangan pengikut dan kenalan tertentu. Ciri ini masih dalam fasa ujian, dan pendekatan yang digunakan sebenarnya mempunyai persamaan dengan Reveal Sticker pada fungsi Stories setakat ini.
