
Selepas pelancaran global baru-baru ini, Instax Mini LiPlay+ akhirnya memasuki pasaran Malaysia pada hari ini. Bagi pengguna yang berminat, kamera ini ditawarkan pada harga RM938 yang juga termasuk satu pek filem kosong.

Instax Mini LiPlay+ ialah kamera hibrid yang menggabungkan fungsi kamera segera dengan pencetak terbina. Ia dilengkapi dengan kamera utama di bahagian belakang serta kamera sudut lebar di hadapan untuk swafoto.

Antara ciri menarik yang ditawarkan ialah Layered Photo Mode yang membolehkan imej digabungkan. Selain itu, terdapat sambungan Bluetooth untuk kawalan jauh serta cetakan terus daripada telefon pintar. Di samping itu, teknologi audio Instax Sound Print dan Instax Sound Album membolehkan mesej suara atau rakaman bunyi disertakan bersama gambar.

Selain itu, kamera ini menyediakan mod Rich dan Natural serta pelbagai penuras menarik bersama pemasa kendiri sehingga 10 saat. Di samping itu, ia menyokong cetakan dalam mod baharu Instax-Natural dan Instax-Rich malah boleh berfungsi sebagai pencetak telefon pintar melalui aplikasi Instax serta serasi dengan semua filem Instax mini.



