Institusi raja payung kestabilan negara, perpaduan rakyat

LocalPolitics
29 May 2026 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Institusi raja payung kestabilan negara, perpaduan rakyat
Bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam agar memelihara adab terhadap Raja dan pemimpin serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara di media sosial bagi tujuan negatif. Gambar fail

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar lambang kedaulatan negara, bahkan Seri Paduka Baginda merupakan payung yang menaungi rakyat, pemelihara agama serta tiang seri kepada kestabilan negara.

Bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam agar memelihara adab terhadap Raja dan pemimpin serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara di media sosial bagi tujuan negatif.

"Sesungguhnya institusi agama dan institusi diraja merupakan asas penting dalam memelihara kedaulatan negara, perpaduan rakyat serta kesucian agama Islam di bumi bertuah ini. Raja bukan sekadar lambang pemerintahan, bahkan menjadi payung kepada agama, keamanan dan keharmonian masyarakat.

"Oleh itu, peliharalah adab dan rasa hormat terhadap Raja, pemimpin serta institusi negara dengan adab tutur kata dan tindakan yang berhemah," demikian menurut khutbah Jumaat itu.

Teks khutbah bertajuk 'Dirgahayu Tuanku: Amanah Raja, Tanggungjawab Rakyat’ yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu dibacakan oleh Imam 2 Masjid Negara Hassan Alfadhli Abdul Rahman ketika siaran langsung Solat Jumaat menerusi TV1, hari ini.

Khutbah berkenaan turut mengingatkan bahawa kesejahteraan sesebuah negara tidak akan tercapai menerusi kekuatan kepimpinan semata-mata mahupun usaha rakyat secara berasingan.

Sebaliknya, ia terhasil apabila kepimpinan yang amanah dan rakyat yang bertanggungjawab berjalan seiring, seia sekata serta saling melengkapi.

Umat Islam juga diingatkan agar bersatu dan menjauhi perpecahan dengan menegaskan bahawa runtuhnya sesebuah negara bukan sahaja datang daripada ancaman luar, sebaliknya sering bermula daripada perpecahan dalaman serta kegagalan menghormati identiti negara.

"Apabila amanah diabaikan, apabila akhlak diketepikan, apabila perpecahan dibiarkan, maka itulah titik awal kepada runtuhnya kekuatan sesebuah negara," menurut khutbah itu.

Selain itu, khutbah berkenaan turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menabur fitnah atau caci maki yang boleh meruntuhkan perpaduan, sebaliknya mempertahankan nilai kesopanan dan kesusilaan sebagai benteng kukuh bagi menjaga maruah agama, bangsa serta tanah air tercinta.

"Pada hari ini kita menzahirkan rasa kasih dan setia dengan ungkapan Dirgahayu Tuanku. Sesungguhnya amanah itu bukan hanya terpikul di bahu pemimpin, tetapi turut tergalas di bahu setiap rakyat jelata.

"Jika Raja memayungi dengan keadilan, maka rakyat hendaklah memakmurkan," demikian menurut khutbah berkenaan.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved