Intel dijangka akan melancarkan cip pemprosesan Raptor Lake Refresh untuk komputer desktop pada 17 Oktober ini, dan terkini, nampaknya sejumlah bahan pemasaran telah tertiris ke arena internet yang memperlihatkan nilai kelajuan lewahjam untuk siri cip Intel Core i9, Core i7 dan Core i5 untuk siri CPU tersebut.

Bahan pemasaran tersebut juga memperlihatkan nilai teras cip-cip pemprosesan ini, walaupun butiran seperti nama cip pemprosesan tidak diperlihatkan. Cip Intel Core i9 dilihat mempunyai 24 teras fizikal yang terdiri daripada 8 teras prestasi dan 16 teras kecekapan dengan kelajuan 6.0GHz.
Cip Intel Core i7 yang diperlihatkan pula mempunyai 20 teras dengan 8 teras prestasi dan 12 teras kecekapan dengan kelajuan maksima 5.6GHz. Model Intel Core i5 pula mempunyai 14 teras dengan 6 teras prestasi dan 8 teras kecekapan dengan nilai kelajuan maksima 5.3GHz.

Perlu diingatkan juga sejak Intel memperkenalkan konsep teras Performance dan Efficient ini, lewahjam maksima hanyalah terhad kepada teras P sahaja. Menariknya, terdapat juga beberapa laporan bahawa ini mengesahkan ura-ura yang mengatakan bahawa ketiga-tiga CPU ini ialah Intel Core i9-14900K, Intel Core i7-14700K dan Intel Core i5-14600K.
Ia juga dijangka bahawa Intel Core i9-14900K yang mempunyai kelajuan maksima 6GHz ini mempunyai TDP 125W berbanding dengan Intel Core i9-13900KS yang mempunyai TDP 150W. Ia juga merupakan CPU pertama yang bukan dalam siri KS untuk mempunyai kelajuan maksima 6GHz ini.
Seperti yang dikatakan, Intel akan melancarkan siri cip pemprosesan Raptor Lake Refresh ini pada 17 Oktober ini, lengkap dengan penawaran spesifikasi tambahan, nama model dan juga tanda harga.
- Sumber
- VideoCardz
