Intel hari ini telah memperkenalkan siri cip pemprosesan generasi ke-14 mereka, dinamakan Meteor Lake, khusus untuk peranti-peranti kelas komputer riba. Dengan siri cip pemprosesan ini, Intel memperlihatkan kemampuan mereka membangunkan cip pemprosesan dengan proses dan juga ciri-ciri serba baharu, termasuklah pengenalan teknologi kecerdasan buatan yang terbina didalamnya.

Siri cip pemprosesan ini dibina menggunakan proses Intel 4 (7nm) bersama-sama dengan teknologi pempakejan Foveros yang membolehkan Intel memperkenalkan sebuah infrastruktur CPU baharu yang bukan sahaja hadir dengan prestasi yang lebih hebat, tetapi juga penggunaan kuasa elektrik yang jauh lebih cekap.

Cip-cip pemprosesan Intel sebelum ini dilihat hadir dengan rekaan yang menggabungkan komponen pemprosesan (CPU die) yang mengawal tugasan-tugasan pemprosesan yang memerlukan kuasa CPU dan juga komponen PCH (PCH die) yang merumahkan proses seperti WiFi, USB, PCIe, Ethernet dan sebagainya.
Dengan cip pemprosesan Intel Meteor Lake, Intel telah memikirkan semula bagaimana cip pemprosesan mereka beroperasi, dengan memisahkan pelbagai jenis komponen kepada bahagian yang memerlukan kuasa rendah, dan juga yang memerlukan kuasa tinggi.

Cip pemprosesan Intel Meteor Lake kini terdiri daripada empat komponen utama, iaitu SOC Tile (System on a Chip), Compute Tile, Graphics Tile dan juga I/O Tile. Keempat-empat bahagian ini dilihat memaparkan fungsi yang sama seperti sebelum ini, tetapi dengan beberapa perbezaan yang menarik.
SOC Tile merumahkan komponen seperti Low Power E-Core (teras kecekapan), Neural Processing Unit untuk tujuan kecerdasan buatan, komponen Display, Imaging dan Media untuk mengaktifkan bahagian seperti paparan, menggerakkan video, dan sebagainya

Ia juga merumahkan komponen-komponen I/O seperti USB, WiFi, audio, Ethernet, PCIe dan sebagainya. Perkara ini dilakukan untuk mengalihkan tugasan-tugasan “remeh” seperti ini daripada komponen pemprosesan utama, dan ini dilihat akan memperlihatkan penggunaan kuasa yang lebih cekap berbanding dengan sebelum ini.
Ini juga bermakna bahawa proses latar belakang komputer semuanya akan dijaga oleh bahagian SOC Tile, dan komponen Compute Tile akan bertanggungjawab untuk proses-proses yang memerlukan kuasa perkomputeran yang lebih tinggi.
Sama juga seperti bahagian Graphics Tile, komponen SOC Tile akan bertanggungjawab untuk tugasan pengaktifan paparan, supaya cip grafik Intel Arc yang digunakan didalam cip pemprosesan ini dimanfaatkan khusus untuk tujuan grafik berkuasa tinggi seperti olahan video ataupun permainan komputer.

Kecerdasan buatan ialah sesuatu yang sering dimanfaatkan kebelakangan ini. Dengan cip NPU (Neural Processing Unit) terbina didalam cip pemprosesan Intel Meteor Lake terbaru ini, pengguna yang memanfaatkan teknologi tersebut menggunakan program seperti Stable Diffusion, ia didapati bahawa penggunaan cip NPU ini dapat bukan sahaja mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengolah objek ataupun gambar dengan cepat, tetapi juga pada kadar penggunaan tenaga yang lebih rendah.
Audacity Riffusion juga diperlihatkan, iaitu sebuah perisian penggubah audio menggunakan kecerdasan buatan, dan pemprosesan yang dilakukan oleh perisian ini untuk menggubah lagu dilihat dapat dilakukan dalam masa nyata tanpa sebarang lengah masa.

Ia dilihat bahawa cip NPU yang terbina didalam semua penawaran cip pemprosesan Intel Meteor Lake ini akan memberi kesan yang positif terhadap industri kreatif profesional, dimana ia boleh mengautomasikan tugasan-tugasan yang leceh, dan memberi lebih banyak masa kepada individu-individu ini untuk diluangkan mencari idea dan ilham baru untuk projek-projek mereka.
Dari segi teknologi baru, siri cip pemprosesan Intel Meteor Lake dilihat menyokong teknologi seperti WiFi 6E dan WiFi7, HDMI 2.1 dan DisplayPort 2.1, paparan dengan resolusi setinggi 8K HDR dengan teknologi pengekodan AV1.

Selain daripada Thunderbolt 4, cip pemprosesan ini juga menyokong teknologi PCIe Gen5, yang mana buat masa ini, masih tiada lagi storan SSD PCIe Gen5 yang boleh digunakan didalam komputer riba sehingga tahun hadapan. Tetapi apabila ianya tersedia, platform Intel Meteor Lake dilihat sedia untuk memanfaatkannya.
Satu lagi perkara baru yang diperlihatkan pada cip Intel Meteor Lake ini ialah integrasi memori DDR dan juga pengawal memori, yang mana Intel Meteor Lake hadir dengan rekaan SOC sama seperti apa yang ditawarkan oleh Apple melalui Apple Silicon siri M mereka yang digunakan didalam siri komputer riba MacBook yang terbaru.

Dengan rekabentuk komputer riba yang semakin kreatif, cip pemprosesan Intel Meteor Lake dilihat akan memberi nafas baru kepada industri komputer riba yang kini dilihat hadir dengan idea-idea untuk rekaan serba baru.
Komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan Intel Meteor Lake dijangka akan tiba sekitar penghujung tahun ini, dengan beratus rekaan serba baru, dari nipis dan ringan dan kelas produktiviti berat akan diperkenalkan sepanjang tahun 2024.
