Pada minggu lepas, Intel telah mengesahkan bahawa isu mikrokod didalam siri CPU generasi ke-14 dan ke-14 mereka telah menyebabkan isu overvolting dimana CPU akan menerima aliran elektrik berlebihan yang boleh menyebabkan kerosakan kritikal pada CPU-CPU dan komponen-komponen lain.
Untuk itu, mereka mengesahkan telah membuka pulangan RMA untuk menggantikan CPU mereka sementara menunggu untuk kemaskini membaikpulih yang akan diperkenalkan sekitar bulan ini.

Sehubungan dengan itu, Intel juga telah mengesahkan bahawa mereka akan melanjutkan waranti untuk semua CPU Intel generasi ke-13 dan ke-14 mereka selama dua tahun, melanjutkan sokongan waranti dari tiga tahun ke lima tahun.
Intel mengatakan bahawa untuk pelanggan yang membina PC mereka sendiri, mereka boleh ke kedai PC untuk mendapatkan CPU pengganti, atau untuk pasaran tertentu, boleh menghantar CPU yang rosak terus kepada Intel. Untuk mereka yang membeli komputer melalui pemasar OEM, mereka boleh meminta bantuan daripada syarikat-syarikat tersebut.
Untuk pasaran tempatan, kami telah meminta komen daripada Intel Malaysia untuk bagaimana mereka yang terkesan oleh isu ini boleh mendapatkan CPU pengganti untuk komputer mereka.
