Intel, NVIDIA Dan Qualcomm Bertemu Dengan Kerajaan AS Berkenaan Perdagangan Dengan Pasaran China

TechnologyDigital
20 Jul 2023 • 7:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tiga syarikat cip gergasi global, Intel, NVIDIA dan Qualcomm baru-baru ini telah bertemu dengan kerajaan Amerika Syarikat tentang perdagangan diantara syarikat-syarikat ini dan juga pasaran negara China.

CEO daripada ketiga-tiga syarikat ini, termasuklah Pat Gelsinger dari Intel, Jensen Huang dari NVIDIA dan Cristiano Amon dari Qualcomm telah bertemu delegasi kerajaan Amerika Syarikat, termasuklah setiausaha perdagangan Gina Raimondo, pengarah National Economic Council, Lael Brainard. dan pengarah National Security Council, Jake Sullivan.

Pertemuan ini dilaporkan oleh laman-laman seperti Reuters dan Bloomberg dan tidak mempunyai banyak butiran mengenainya, tetapi apa yang diwar-warkan ialah bahawa pertemuan ketiga-tiga ketua pegawai eksekutif syarikat ini denga pihak kerajaan tersebut ialah untuk membincangkan tentang penjualan komponen cip semikonduktor dan peralatan membangunkannya tertentu kepada syarikat-syarikat di China.

Sejumlah besar sekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan Amerika Syarikat berkenaan ini akan berkuatkuasa tidak lama lagi, dan ia dijangka bahawa lebih banyak sekatan yang lebih ketat akan diperkenalkan tidak lama lagi untuk memastikan kerajaan China tidak boleh mendapatkan teknologi baru ini untuk tujuan-tujuan yang seperti ketenteraan dan juga risikan.

Permintaan syarikat-syarikat ini berkemungkinan adalah untuk sekatan ini dilonggarkan sedikit supaya ia tidak menjejaskan jumlah jualan dan keuntungan syarikat-syarikat ini. Jualan kad grafik NVIDIA di pasaran Asia khususnya adalah setinggi 20 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan produk syarikat tersebut, dan untuk Qualcomm, 60 peratus daripada jumlah jualan komponen-komponen mereka adalah di rantau tersebut.

Setakat ini juga ia tidak diketahui apakah resolusi selepas pertemuan ini berlaku, tetapi jangkaan kami ialah kesemua pihak ini akan mendapati bahawa ia adalah sukar untuk mereka mencari jalan tengah berkenaan isu ini. Berkemungkinan juga bahawa kerajaan Amerika Syarikat akan cuba mengurangkan jumlah industri yang akan dikenakan sekatan teknologi ini, ataupun sekurang-kurangnya mengehadkan jenis-jenis komponen yang boleh dijual kepada syarikat-syarikat teknologi China.