International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KerjaRaya di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir sama adalah YBhg. Dato’ Sri Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya yang juga merupakan Presiden Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM).
ICOS 2026 yang julung kali diadakan ini mengangkat tema “Resilience, Adaptation And Sustainable Slope”. Tema ini adalah selaras dengan penekanan ICOS 2026 dalam pengadaptasian teknologi terkini dan inovasi dalam bidang kejuruteraan cerun.
Di samping itu, ICOS dijangka akan memberi impak signifikan khususnya dalam memperkukuh kepakaran kejuruteraan cerun, meningkatkan pembangunan kapasiti dan perkembangan profesionalisme (capacity building & professional development) dalam usaha memastikan pengamal industri terus diperkasa dengan ilmu dan kompetensi yang relevan.
ICOS 2026 melibatkan pelbagai pengisian dan kupasan menarik oleh pakar-pakar tempatan dan antarabangsa yang dijemput khas antaranya daripada Indonesia, Taiwan, Jepun, Hong Kong dan India. Pelbagai topik pembentangan, isu dan cadangan solusi turut dikupas dan dikongsi bersama peserta yang hadir.
Topik pembentangan kertas kerja merangkumi pelbagai aspek pengurusan cerun, inovasi, teknologi terkini & kecerdasan buatan, risiko tanah runtuh, serta kepentingan pemantauan, pencegahan dan penyelenggaraan cerun.
JKR Malaysia sentiasa komited dalam memperkukuh kompetensi dan keupayaan warga profesion teknikal di samping mengaplikasi amalan terbaik pengurusan cerun, demi keselamatan orang awam dan pembangunan infrastruktur negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
