Interpol: Kes pemerdagangan orang berkait tawaran kerja palsu meningkat

WorldPolitics
30 Jun 2025 • 10:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PARIS, 30 JUN: Semakin banyak negara terjejas akibat pemerdagangan orang yang berkaitan dengan buruh paksa di pusat penipuan dalam talian yang diurus secara profesional, kata Interpol pada Isnin, menurut agensi berita Jerman (dpa).

Pertubuhan polis antarabangsa yang berpangkalan di Lyon, Perancis itu berkata mangsa datang dari 66 negara di semua benua.

Interpol menyifatkan situasi ini sebagai “krisis global” yang membabitkan ratusan ribu mangsa.

Pusat penipuan itu pada asalnya terletak di beberapa negara Asia Tenggara, dan analisis Interpol menunjukkan tiga daripada empat mangsa telah diperdagangkan ke rantau ini dalam tempoh lima tahun lepas.

Bagaimanapun, penyiasat kini turut menemukan pusat penipuan di Afrika Barat, Amerika Tengah dan Timur Tengah.

Menurut Interpol, mangsa biasanya diperdaya melalui tawaran pekerjaan palsu sebelum ditahan di kem, di mana mereka sering diugut dengan hutang palsu, dipukul, dieksploitasi secara seksual dan dalam sesetengah kes diseksa atau dirogol.

Di dalam pusat-pusat ini, mangsa dipaksa melakukan penipuan dalam talian dengan sasaran utama mencuri wang orang lain.

Interpol memberi amaran bahawa bentuk jenayah terancang ini sedang merebak dengan pantas dan menyeru tindakan respons bersepadu secara global.

Pihak berkuasa perlu mengukuhkan perkongsian maklumat antara negara yang terjejas serta bekerjasama rapat dengan organisasi yang menyokong mangsa.

Dengan 196 negara anggota, Interpol merupakan organisasi polis terbesar di dunia yang menyelaras kerjasama polis antarabangsa.

— BERNAMA-dpa

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved