SHAH ALAM - Intipan polis kira-kira enam jam berjaya membongkar cubaan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang 'ditempatkan' di ladang kelapa sawit di Kampung Sekendi, Sabak Bernam pada Khamis.
Operasi itu digerakkan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 19 serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi kira-kira jam 3.30 pagi telah menahan 32 warga asing.
**media[3453695]**
Menurutnya, tangkapan membabitkan 15 lelaki, 14 wanita, seorang kanak-kanak perempuan serta dua kanak-kanak lelaki yang mana kesemuanya berusia dalam lingkungan satu hingga 52 tahun.
"Susek yang bertindak sebagai tekong darat akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Bagi tangkapan migran pula diambil tindakan mengikut Seksyen 6(1)((C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.
Tambahnya, polis akan mempertingkatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

