IOI Property dijangka senaraikan REIT bernilai RM8 bilion menjelang 2HFY26

16/04/2025 - 17:56
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 April - IOI Properties Group Bhd (IOIProp) dijangka melaksanakan penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26), sebagai sebahagian daripada usaha strategik bagi merendahkan paras hutang syarikat.
UOB Kay Hian (UOBKH) Research berkata, kumpulan itu mempercepatkan inisiatif penjanaan tunai berikutan kenaikan nisbah hutang bersih kepada 0.75 kali setakat akhir suku kedua FY25. Kenaikan ini berlaku susulan aktiviti pengambilalihan agresif sejak FY24.
"Bagi menguruskan kedudukan kewangan dengan lebih berhemah, IOIProp kini memberi tumpuan kepada penjanaan tanah industri serta pelupusan inventori siap bina,” katanya dalam satu nota kajian.
Syarikat telah melantik penasihat untuk menyelia penyenaraian REIT yang dicadangkan, dengan saiz aset dianggarkan antara RM6 bilion hingga RM8 bilion. Ia termasuk IOI City Mall Fasa 1 dan 2, hotel dan aset pejabat di Malaysia.
"Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi pengurangan hutang," katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan peningkatan pendapatan dalam segmen pelaburan hartanah pada separuh kedua 2025, dipacu sumbangan IOI Mall Damansara yang baharu dan kadar penghunian yang semakin meningkat di IOI Central Boulevard Towers (IOICB).
"Setakat akhir Mac 2025, IOICB mencatat kadar komitmen penyewa sebanyak 80%, berbanding 75% pada Januari lalu.
"Walaupun kadar penghunian sebenar baru mencapai 50%, titik pulang modal dijangka mampu dicapai dengan kadar penghunian sekitar 70% hingga 75% menjelang FY26,” katanya.
Sementara itu, IOI Mall Damansara dijangka menunjukkan prestasi pemulihan kukuh pada FY26 hasil inisiatif penambahbaikan aset yang merangkumi penstrukturan semula penyewa, perpindahan lokasi, serta usaha pemasaran yang lebih agresif.
Usaha itu dilihat akan meningkatkan jumlah pengunjung, sekali gus membolehkan kumpulan melaraskan semula kadar sewaan semasa yang kini hanya sekitar RM5 sekaki persegi di bawah kadar pasaran.
UOBKH optimis bahawa IOIProp mampu mencapai sasaran jualan FY25 sebanyak RM2 bilion, disokong oleh pelancaran projek baharu, pelupusan inventori sedia ada dan penjualan tanah industri.
Syarikat itu dilaporkan menerima dua surat hasrat pembelian tanah pada November 2024, dengan sekurang-kurangnya satu transaksi bernilai sekitar RM500 juta dijangka termeterai menjelang Jun ini.
Projek kediaman mewah terbaharu syarikat – W Residences Marina View – dijadualkan untuk pelancaran pada hujung April 2025.
"Walaupun harga jualan purata projek kediaman itu disasarkan sekitar S$5,000 setiap kaki persegi, kami dimaklumkan harga pelancaran awal ditetapkan pada S$3,500 setiap kaki persegi untuk menguji pasaran, dengan kenaikan harga dijangka dalam fasa-fasa berikutnya," katanya.
Walaupun terdapat kebimbangan terhadap kadar pengambilan unit memandangkan ketidaktentuan ekonomi global akibat tarif antarabangsa, firma penyelidikan itu percaya strategi harga yang ditawarkan mampu menarik pembeli awal dan memacu penjualan permulaan.
"IOIProp kekal dengan unjuran kadar pengambilan sebanyak 30% dalam tahun pertama pelancaran," katanya.
UOBKH mengekalkan saranan "beli" ke atas saham IOIProp tetapi menurunkan harga sasarannya kepada RM2.54 daripada RM2.83, berdasarkan nilai aset bersih disemak semula sebanyak RM5.07 dengan diskaun 50% berbanding 45% sebelum ini bagi mencerminkan premium risiko yang lebih tinggi.
Ini menunjukkan nisbah harga kepada nilai buku yang diramal bagi FY25 hingga FY27 berada pada 0.5 kali, selaras dengan purata sejarah 10 tahun sebanyak 0.5 kali.- DagangNews.com
standard
