IPCC dijangka berfungsi sepenuhnya awal tahun depan

16 Nov 2023 • 10:05 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dijangka berfungsi sepenuhnya pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, proses pemilihan, penilaian serta pelantikan ahli suruhanjaya berkenaan bagi jawatan pengerusi dan anggota sedang giat dijalankan.

Menurutnya, setakat ini 94 aduan berkaitan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diterima selaras dengan Seksyen 25 Akta IPCC.

“Prosedur operasi standard (SOP) (bagi meneliti aduan), ditentukan selepas pelantikan (ahli) suruhanjaya ini dimuktamadkan.

“Kita ambil maklum semua aduan, klasifikasikan dan teliti dengan baik bagi memberi keadilan kepada semua yang terbabit,” katanya.

Shamsul Anuar berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa, bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Berhubung 24,000 alat bantuan teknik, termasuk kamera badan kepada PDRM dan pelbagai agensi di bawahnya, Shamsul Anuar berkata, perkara itu sudah dibawa ke Mesyuarat Penilaian Pembuktian Konsep pada 26 Oktober lalu.

Katanya, ia akan dimuktamadkan Lembaga Perolehan kementerian berkenaan pada akhir bulan ini.

“Kamera badan ini akan digunakan anggota PDRM yang bertugas di lapangan, terutama Unit Peronda Kereta Polis (MPV) dan Unit Rondaan Motosikal (URB) di 157 ibu pejabat polis daerah di seluruh negara,” katanya.

Ujarnya, sejumlah RM30 juta diperuntukkan bagi perolehan peralatan terbabit.

Rang undang-undang perbekalan 2024 bagi KDN, kemudian diluluskan dengan lebih suara bersetuju sebelum persidangan ditangguhkan sehingga Isnin depan. – 16 November, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved