iPhone 14 Dilengkapi ‘SOS Kecemasan’, Harga Dikekalkan

Digital
8 Sep 2022 • 11:30 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang pengunjung melihat iPhone 14 baharu semasa acara pelancaran produk baharu di Apple Park di Cupertino, California. - Gambar AFP

CALIFORNIA - Apple memperkenalkan iPhone 14, dengan ciri-ciri sambungan satelit kecemasan dan teknologi pengesanan kemalangan kereta, pada acara pelancarannya di Amerika Syarikat (AS).

Syarikat itu mendedahkan empat versi telefon bimbit baharu di ibu pejabat syarikat di Cupertino, dengan penonton hadir menyaksikan sendiri acara tersebut buat kali pertama sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

iPhone 14 akan dijual bermula pada harga AS$799 (RM3,595) dan iPhone 14 Plus pada AS$899 (RM4,045) serta pra tempahan untuk kedua-dua produk itu bermula esok.

image is not available
iPhone 14 pro

iPhone 14 Plus didatangkan dalam skrin gergasi 6.7 inci (17 sentimeter) yang menawarkan pengalaman lebih baik semasa bermain permainan atau menonton video.

Bagi iPhone 14 Pro pula ditawarkan pada harga AS$999 (RM4,495) dan iPhone Pro Max AS$1,099 (RM4,945).

Pra tempahan bagi kedua-dua produk itu boleh dilakukan pada 16 September ini.

Harga bagi telefon pintar baharu itu sama dengan versi iPhone 13 yang dilancarkan pada tahun lalu.

Ciri-ciri baharu iPhone 14 termasuk bateri lebih tahan lama dan kapasiti fotografi untuk merakam babak ‘ultra lebar’ dan tetapan cahaya rendah.

image is not available
Apple watch ultra dipamerkan semasa acara pelancaran untuk produk baharu di Apple Park di Cupertino, California. - Gambar AFP

Set produk itu turut didatangkan dengan bud telinga baharu, direka bentuk untuk mengekalkan kesetiaan pengguna terhadap ekosistem teknologi yang mewah.

Selain telefon pintar baharu, Apple turut memperkenalkan Apple Watch Ultra yang mengandungi bateri dengan jangka hayat mencukupi untuk atlet ‘menghabiskan triatlon jarak jauh’.

Ia ditawarkan pada harga AS$799 (RM3,595).

Apple Watch Series 8 pula berharga AS$399 (RM1,795) dan mempunyai ciri-ciri baharu yang dipertingkatkan apabila berupaya memantau suhu badan dan fungsi badan lain. - BBC