IPO SSF Home terlebih langgan sebanyak 8.25 kali

Business & Finance
3 Oct 2023 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO SSF Home terlebih langgan sebanyak 8.25 kali

diyana

03/10/2023 - 16:37

KUALA LUMPUR 3 Okt -Tawaran awam permulaan (IPO) SSF Home Group Berhad (SSF Home) telah terlebih langgan sebanyak 8.25 kali.

Penyenaraian kumpulan itu menyaksikan terbitan awam sebanyak 200 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 25 sen sesaham, mewakili kira-kira 25% daripada modal saham yang diperbesarkan, dengan jangkaan perolehan IPO berjumlah RM50 juta.

Selain itu, terdapat juga tawaran untuk penjualan 24 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Peruncit perabot buatan sendiri, hiasan rumah dan produk kediaman itu telah menerima 5,348 permohonan untuk lebih 370 juta saham bernilai kira-kira RM92.5 juta, bagi 40 juta saham yang diperuntukkan kepada orang ramai Malaysia, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 8.25 kali.

Bagi kategori Bumiputera, kumpulan itu berkata terdapat sejumlah 2,636 permohonan diterima untuk 137.28 juta saham, terlebih langganan sebanyak 5.86 kali.

Bagi kategori awam Malaysia yang lain, 2,712 permohonan untuk 232.76 juta saham telah diterima, mewakili kadar terlebih langganan sebanyak 10.64 kali.

Sementara itu, 40 juta saham untuk permohonan pengarah, pekerja dan individu berkelayakan yang telah menyumbang kepada kejayaan SSF Home telah dilanggan sepenuhnya.

Sementara itu, penempatan persendirian sebanyak 120 juta saham, melibatkan 100 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia (MITI) berserta 20 juta saham untuk pelabur terpilih juga telah dikeluarkan sepenuhnya.

image is not available
Wong Choong Loong (dua dari kiri) dalam majlis pelancaran prospektus syarikat pada 8 September 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SSF Home, Wong Choong Loong menzahirkan penghargaan beliau di atas pengiktirafan orang ramai terhadap keupayaan dan prospek masa depan kumpulan.

“Berbekalkan dana IPO, kami di kedudukan yang baik untuk melaksanakan strategi pengembangan, yang memerlukan penubuhan 18 cawangan baharu dalam tiga tahun akan datang.

“Langkah strategik ini akan meningkatkan kehadiran kami dengan ketara dalam sektor peruncitan kelengkapan rumah, meningkatkan kehadiran pasaran dan keterlihatan jenama kami di pelbagai bandar seluruh Malaysia,” katanya.

SSF Home dijadualkan tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Oktober 2023. Selepas penyenaraian, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM200 juta berdasarkan harga terbitan 25 sen sesaham dan peningkatan modal saham sebanyak 800 juta saham. - DagangNews.com