Jangan takut guna pengangkutan awam

LocalCars
14 Mar 2020 • 6:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Pengguna perkhidmatan awam tidak perlu bimbang menggunakan perkhidmatan berkenaan kerana sistem kebersihan sudah dipertingkatkan.

Ketua Pegawai Operasi Laluan Monorel, Mohd Ariffin Idris berkata, susulan penularan koronavirus (Covid-19), Prasarana mengambil langkah pencegahan melalui kawalan kebersihan di kawasan seliaannya bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan dan nyahkuman dilakukan lebih kerap di dalam tren yang berhenti di terminal selain di eskalator, lif dan kaunter tiket yang menjadi tempat tumpuan awam.

image is not available
Pekerja pembersihan melakukan kerja nyahkuman dalam bas yang berhenti di Pasar Seni hari ini.

"Suhu badan semua kakitangan akan disaring sebelum memulakan tugas selain penyediaan topeng muka dan sanitizer setiap hari," katanya pada sesi penerangan Covid-19 di KL Sentral hari ini.

Mohd Ariffin berkata, usaha pencegahan Covid-19 diteruskan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan meningkatkan kesedaran pengguna melalui hebahan dan kempen.

"Orang awam tidak perlu bimbang untuk menggunakan kemudahan awam disebabkan Prasarana khususnya Rapid Rail telah mengambil langkah pencegahan yang perlu.

"Diakui buat masa ini berlaku penurunan penumpang selain saranan kerajaan supaya mengelak ke tempat awam jika tiada urusan penting," katanya.