
iQIYI semalam mengumumkan ejen kecerdasan buatan (AI) Nadou Pro yang menurut mereka membolehkan kandungan video dihasilkan secara profesional tanpa melibatkan manusia. Menurut iQIYI seramai 100 pelakon popular kini berada di dalam pangkalan data Nadou Pro membolehkan kandungan seperti drama pendek dijana tanpa pelakon sebenar perlu menjejakkan kaki di set penggambaran.

Nadou Pro menyokong keseluruhan aliran kerja produksi seperti penulisan skrip, reka bentuk watak, storyboard, pengarahan visual, dan output akhir. Tidak seperti OpenAI Sora, Nadou Pro direka untuk menghasilkan kandungan naratif panjang berkualiti seperti drama dan filem. Ini adalah kemampuan sama seperti Seedance 2.0 oleh Bytedance yang boleh diakses menerusi CapCut.
Nadou Pro unik kerana menggabungkan model QiZhi oleh iQIYI dengan model pihak ketiga seperti SeeDance, Kling, Vidu, Hailuo, dan WAN. Ejen AI ini telah digunakan iQIYI secara ujian dalaman sejak 2025 dalam projek filem, drama, dan animasi.
Sejurus selepas pelancaran, beberapa pelakon yang disenaraikan boleh diakses Nadou Pro mengeluarkan kenyataan mereka tidak pernah memberikan kebenaran untuk diri mereka digunakan. Pihak iQiYI mengeluarkan kenyataan walau pelakon popular wujud dalam pangkalan data Nadou Pro, pihak mereka akan masih mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum “wajah” mereka boleh digunakan dalam video yang dijana.
