
IQOO memperkenalkan telefon pintar terbaharunya, iQOO 15T di China. Peranti ini menggabungkan prestasi berkuasa dengan penekanan pada bateri berkapasiti besar serta sistem kamera yang dipertingkatkan.

Dari segi reka bentuk, iQOO 15T hadir dengan modul kamera “DECO cabin” yang diinspirasikan daripada iQOO 15 Ultra dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Qingyun, Legend Edition serta Racing Edition. Paparannya menggunakan skrin 6.82 inci 2K LTPO AMOLED dengan kadar segar semula 144Hz bersama kecerahan puncak 4500 nits, sokongan HDR10+ serta algoritma perlindungan mata generasi baharu.

IQOO 15T dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 9500 Monster Edition yang menawarkan peningkatan sehingga 34% prestasi kadar bingkai stabil. Ia turut hadir dengan memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X Ultra serta storan UFS 4.1 sehingga 1TB. Dari segi pengalaman permua, peranti ini menyokong resolusi 2K pada 144FPS untuk lebih 140 judul AAA. Ia juga dilengkapi cip tambahan Q3 e-sukan yang berfungsi sebagai pemproses grafik khusus untuk menghasilkan paparan dan pergerakan bingkai permainan yang lebih lancar.

Tetapan kamera pula terdiri daripada sensor utama 200MP dengan CIPA 4.5 yang menyokong zum sehingga 4x serta mod potret pada semua jarak. Ia turut dilengkapi kamera ultra-lebar 50MP dengan sokongan makro, dan swafoto 16MP untuk rakaman lebih jelas. iQOO 15T turut menggunakan bateri berkapasiti 8000mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W. Harga jualan di China bermula RMB4099 (~RM2,212).

