
iQoo Malaysia telah mengesahkan bahawa siri telefon pintar terbaharunya, siri iQoo 16 akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. Pelancarannya dijadualkan pada 8 Disember 2026, dan hadir dalam dua model iaitu iQoo 16 dan iQoo 16s.
Model iQoo 16 merupakan telefon flagship yang memfokuskan prestasi tinggi khususnya untuk gaming, dan merupakan pengganti kepada iQoo 15 tahun lalu. Manakala iQoo 16s pula model flaghsip lebih mampu milik menawarkan gabungan prestasi harian, skrin dengan kadar segar semula tinggi dan bateri berkapasiti besar.
Untuk pengetahuan anda, iQoo 16 telah pun dilancarkan di China, tampil dengan Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 serta skrin berkadar segar semula pantas 165Hz.
Menjelang pelancaran rasmi, peminat juga boleh menempah siri iQoo 16 dengan deposit serendah RM1 untuk menikmati pelbagai hadiah percuma serta menyertai cabutan bertuah bernilai sehingga RM16,000.
Promosi tempahan siri iQoo 16 di Malaysia

iQoo telah membuka tempahan awal untuk siri iQoo 16 yang berjalan dari 24 November hingga 7 Disember 2026.
Namun, perlu diingatkan bahawa ini bukanlah pratempahan rasmi. Sebaliknya, anda boleh letak deposit RM1 untuk membolehkan mengunci kelayakan untuk menikmati ganjaran pembeli awal sebelum pratempahan rasmi dibuka dari 8 hingga 17 Disember 2026, selepas harga jualan tempatan diumumkan.
Pengguna boleh menyertai kempen ini dengan membayar deposit RM1 menerusi stor dalam talian vivo, serta kedai rasmi iQoo di Lazada dan Shopee.
Mereka yang menyertai kempen ini berpeluang memenangi hadiah utama berupa sebuah iQoo 16 serta hadiah menarik lain dengan jumlah nilai keseluruhan sehingga RM16,000.

Selain itu, pembeli awal turut menikmati beberapa ganjaran tambahan, termasuk:
- Ganjaran minyak PETRONAS bernilai RM50.
- Diskaun ahli sebanyak RM200.
- Kipas penyejuk iQoo Cooler 3 Neo bernilai RM159
- Fon putik iQoo Buds Pro bernilai RM199
- Rebat tukar beli sehingga RM300
- Pelan ansuran 0% sehingga 24 bulan
- Tawaran diskaun PWP 30% untuk produk IoT terpilih
- Pin tambah nilai TnG RM20
Spesifikasi iQoo 16
Dalam masa yang sama, iQoo turut mendedahkan beberapa butiran spesifikasi utama bagi siri telefon yang bakal tiba ini.
Diposisikan sebagai model prestasi tertinggi dalam siri ini, iQoo 16 dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 yang dibina menggunakan proses 2nm. Ia turut digandingkan bersama Supercomputing Chip Q4 khusus bagi meningkatkan prestasi grafik, termasuk sokongan Full-Scene Ray Tracing untuk kesan pencahayaan dan pantulan yang lebih realistik ketika bermain game.
Di bahagian hadapan, ia menggunakan skrin Samsung M16 beresolusi 2K dengan kadar segar semula sepantas 165Hz. Paparan ini mampu mencapai kecerahan puncak global sehingga 2,800 nits dan kecerahan puncak setempat sehingga 10,000 nits. Berdasarkan spesifikasi model di China, paparan ini berukuran 6.85“.
Dari segi rekaan, ia tampil dengan varian warna Matrix menampilkan kemasan panel belakang dengan kesan tekstur visual 3D terapung menggunakan Teknologi Pengimejan Holografik Laser, selain modul kamera bercorak geometri yang memberikan identiti tersendiri.
Walaupun tiada butiran lanjut didedahkan oleh iQoo Malaysia buat masa ini, berdasarkan spesifikasi model China, ia hadir dengan tetapan tiga kamera belakang 50MP untuk kamera utama, telefoto periskop, dan ultralebar Untuk swafoto, terdapat kamera hadapan 32MP.
Model China juga dimuatkan dengan bateri besar 8,400mAh yang menyokong pengecasan pantas 100W berwayar dan 40W wayarles. Bagaimanapun, spesifikasi bateri dan pengecasan untuk pasaran Malaysia masih belum disahkan, dan ia mungkin berbeza daripada pasaran China.
Spesifikasi iQoo 16s
Sementara itu, iQoo 16s pula merupakan model flagship kelas permulaan dalam siri, tampil dengan cip Snapdragon 8s Gen 4 yang dibina menggunakan proses 4nm, berbanding Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 2nm pada iQoo 16.
Ia turut lebih kompak, menggunakan skrin AMOLED berukuran 6.59″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz. Paparan ini menyokong sehingga 1.07 bilion warna serta kecerahan puncak setempat sehingga 5,000. Bateri yang digunakan pula adalah jenis BlueVolt Ultra-Nipis berkapasiti 7,650mAh.
Buat masa ini, itu sahaja spesifikasi yang didedahkan dikongsikan iQoo Malaysia untuk model iQoo 16s.
Tetapi berdasarkan spesifikasi yang dikongsikan, model ini berkemungkinan besar merupakan pengganti kepada iQoo 15R sebelum ini, memandangkan menggunakan saiz skrin yang sama serta kapasiti bateri yang tidak jauh beza.
Butiran lanjut termasuk harga rasmi dan variasi storan kedua-dua model untuk pasaran Malaysia hanya akan diketahui semasa acara pelancarannya pada 8 Disember 2026 nanti.
Untuk perspektif anda, generasi sebelum ini iQoo 15 dilancarkan bermula RM3,699 untuk varian 12GB+256GB, manakala iQoo 15R pula bermula RM2,499 untuk konfigurasi yang sama.





