Iran ancam henti eksport minyak dari Teluk

WorldBusiness & Finance
25 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran ancam henti eksport minyak dari Teluk

TEHERAN: Iran mengancam akan menghentikan semua eksport minyak dari Teluk dan mengetatkan laluan di Selat Hormuz jika perang ekonomi Washingrton berterusan ke atas negaranya.

Ancaman itu dibuat selepas Amerika Syarikat (AS) mahu melaksanakan serangan kewangan terbesar yang menyasarkan rakan dagang Iran.

Iran dilaporkan sudah bersiap sedia menghadapi sekatan tersebut sejak beberapa hari lalu dengan mengeluarkan beberapa kenyataan keras yang membayangkan tindak balas ketenteraan besar-besaran.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei berkata; “Jika perang ekonomi berterusan, tidak setitis pun minyak akan dieksport, sama ada melalui Selat Hormuz mahupun dari mana-mana kawasan di Teluk Arab.

“Iran akan menganggap penyertaan atau sokongan mana-mana negara terhadap perang ekonomi AS terhadap rakyat Iran sebagai satu tindakan perang,” tulis Rezaei dalam hantaran media sosial.

Selat Hormuz merupakan laluan penting untuk bekalan minyak dan gas. Laluan itu mewakili  20 peratus daripada transit minyak dan gas asli dunia.

Menteri Luar Oman, Sayyid Badr al-Busaidi mengadakan lawatan ke Teheran bagi menghadiri rundingan mengenai Selat Hormuz sementara pihak berkuasa Iran memberi amaran kapal yang melanggar peraturan transit di laluan strategik itu boleh dikenakan denda, ditahan atau dirampas.

Semalam, agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran meluluskan peruntukan bagi membolehkan Teheran mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz.

Peruntukan itu membolehkan Iran mengenakan bayaran bagi perkhidmatan pelayaran dan alam sekitar, bekalan bahan api dalam keadaan tertentu, insurans, keselamatan serta perkhidmatan lain yang disediakan di selat berkenaan.

Jurucakap jawatankuasa itu, Hassan Qashqavi berkata, bayaran berkenaan akan dikutip daripada kapal milik negara yang dibenarkan melalui selat tersebut dan dibayar dalam mata wang rial Iran atau mata wang lain seperti ditetapkan Teheran.

Beliau menegaskan rang undang-undang itu mengambil kira hak negara-negara yang bersempadan dengan Selat Hormuz.

Katanya, teks berkenaan mengiktiraf kebebasan pelayaran maritim berdasarkan undang-undang dan peraturan antarabangsa. Teks itu  menekankan kepentingan menghormati keselamatan selain kedaulatan negara pesisir dan melindungi hak mereka, tambahnya.

Susulan langkah itu, Pihak Berkuasa Selat Teluk Parsi Iran menggesa syarikat yang mengangkut kargo keluar atau masuk ke Teluk supaya menyemak senarai terkini kapal seperti didakwa melakukan pelanggaran sebelum menyewa kapal.

AS bersama Israel menyerang Iran pada 28 Februari sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei manakala gencatan senjata berkuatkuasa pada April tetapi musnah pada Julai.

Iran dan Washington  tidak melancarkan serangan ketenteraan antara satu sama lain sejak beberapa minggu lalu, tetapi sehingga kini belum mengadakan rundingan bermakna untuk menamatkan konflik yang memasuki bulan keenam.

Ribuan orang terbunuh, kebanyakannya di Iran dan Lubnan, sejak AS dan Israel melancarkan serangan pada hujung Februari, yang melemahkan sebahagian besar keupayaan ketenteraan konvensional Teheran serta menjejaskan ekonominya.

Bagaimanapun, Iran masih memiliki keupayaan peluru berpandu dan dron yang mencukupi untuk menyerang negara jirannya di Teluk serta mengancam kapal tangki minyak di Selat Hormuz, menyebabkan perkapalan di laluan strategik itu hampir terhenti selain memberi tekanan terhadap harga bahan api dunia.

Tanpa rundingan bersemuka rasmi antara AS dan Iran yang kali terakhir diadakan pada Jun di Switzerland, beberapa negara lain termasuk Qatar, Pakistan  serta Turkiye kini mengambil tanggungjawab untuk menggalakkan usaha diplomasi.

 

The post Iran ancam henti eksport minyak dari Teluk appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved