Iran, Arab Saudi bincang ketidakstabilan serantau ketika pertempuran di Yemen memuncak

WorldPolitics
11 Sep 2026 • 5:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran, Arab Saudi bincang ketidakstabilan serantau ketika pertempuran di Yemen memuncak

TEHERAN: Menteri luar Iran dan Arab Saudi mengadakan perbualan telefon bagi membincangkan ketidakstabilan yang semakin meningkat di rantau berkenaan, menurut Teheran tanpa menyebut pertempuran terbaharu di Yemen yang menyaksikan kedua-dua negara menyokong pihak bertentangan.

Teheran memberikan sokongan ketenteraan dan kewangan kepada kumpulan Houthi di Yemen, yang selama bertahun-tahun menguasai sebahagian besar wilayah utara negara itu dan pada Khamis menawan bandar pelabuhan strategik Mocha di Laut Merah serta mengukuhkan kedudukan mereka di Selat Bab al-Mandab.

Riyadh pula sejak sekian lama menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan melancarkan serangan udara terhadap Houthi sejak kumpulan itu memulakan kemaraannya.

Arab Saudi dan Iran turut berdepan pertentangan dalam konflik lebih luas di Asia Barat yang menyaksikan Teheran melancarkan serangan terhadap infrastruktur minyak Arab Saudi serta sasaran berkaitan AS di negara Teluk itu.

“Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Faisal Farhan bagi membincangkan peningkatan ketegangan dan ketidakstabilan yang semakin buruk di rantau ini,” menurut Kementerian Luar Iran.

Ringkasan perbualan itu menyatakan kedua-dua pihak menekankan keperluan untuk meneruskan kerjasama dan usaha diplomatik bagi menghalang penularan ketegangan serta memulihkan kestabilan.

Walaupun kementerian itu tidak menyebut Yemen secara khusus dalam kenyataan mengenai perbualan tersebut, satu kenyataan berasingan mengenai pertempuran di negara itu menegaskan krisis tersebut tidak mungkin diselesaikan melalui campur tangan ketenteraan.-AFP

The post Iran, Arab Saudi bincang ketidakstabilan serantau ketika pertempuran di Yemen memuncak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved