
Iran Benar 10 Kapal Lalui Selat Hormuz, Trump Sifatkan Sebagai ‘Hadiah’
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa 10 kapal tangki minyak yang dibenarkan Iran untuk melalui Selat Hormuz merupakan satu 'hadiah' bagi menunjukkan kesungguhan dalam rundingan menamatkan perang.
Memetik AFP, Trump merujuk kenyataan samar yang dibuatnya dua hari sebelum ini mengenai satu 'hadiah' daripada Tehran yang melibatkan aliran minyak dan gas melalui air tersebut, iaitu titik sempit penting bagi perdagangan tenaga global.
Pasukan Iran sebelum ini dilaporkan telah memperlahankan pergerakan kapal melalui selat berkenaan sehingga hampir terhenti sepanjang perang di Timur Tengah, yang bermula hampir empat minggu lalu.
Trump Sekali Lagi Tangguh Tarikh Akhir Serangan Terhadap Aset Tenaga Iran
Trump Hantar Pelan Damai Kepada Iran, Yakin Perang Dapat Ditamatkan
“Mereka berkata, ‘untuk menunjukkan kepada anda bahawa kami benar-benar serius dan kukuh serta berada di sini, kami akan benarkan anda menerima lapan kapal minyak,’” kata Trump kepada wartawan dalam mesyuarat Kabinet pertamanya sejak konflik bermula.
Menurut Trump, kapal tangki tersebut dipercayai berbendera Pakistan, sambil menambah beliau melihat laporan berita bahawa kapal berkenaan telah melalui selat itu.
“Dan saya berkata, baiklah, nampaknya kita berurusan dengan pihak yang betul’ Malah, mereka kemudian memohon maaf atas sesuatu yang mereka katakan dan mereka akan hantar dua lagi kapal,’” katanya lagi.

Data daripada firma risikan marin, Kpler, menunjukkan enam kapal tangki minyak yang sarat muatan serta lima kapal pengangkut gas telah melalui Teluk sejak Isnin, namun tiada pengesahan bahawa kapal-kapal tersebut adalah yang dimaksudkan oleh Trump.
Daripada jumlah itu, tiga kapal tangki minyak dan dua kapal pengangkut gas kini tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat berkaitan Iran. Berdasarkan isyarat penjejakan, dua daripada enam kapal tangki minyak itu dipercayai menuju ke China, manakala satu lagi dalam perjalanan ke Thailand.
Bagi kapal pengangkut gas pula, satu sedang menuju ke Singapura dan satu lagi telah tiba di India. Untuk baki enam kapal, destinasi mereka tidak dapat dipastikan berdasarkan data yang tersedia.

