Iran Dakwa Trump Pandai Berlakon – “Diplomasi Teater”

WorldPolitics
7 Aug 2026 • 2:40 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Iran Dakwa Trump Pandai Berlakon – “Diplomasi Teater”

Iran menuduh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan pendekatan “diplomasi teater” susulan kenyataan Washington yang mendakwa rundingan antara kedua-dua negara semakin hampir dimuktamadkan.

Tehran bagaimanapun menegaskan tiada rundingan rasmi sedang berlangsung bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama beberapa bulan.

Kenyataan itu dibuat oleh Speaker Parlimen Iran merangkap ketua perunding negara itu, Mohammad Bagher Ghalibaf, beberapa hari selepas Trump mendakwa rangka asas perjanjian dengan Iran telah dipersetujui.

Ketegangan Serantau Terus Meningkat

Dalam perkembangan sama, Arab Saudi dilaporkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan amaran risikan mengenai kemungkinan serangan terancang oleh kumpulan militia Iraq yang disokong Iran serta Houthi.

Ancaman itu muncul selepas kumpulan Houthi mengaku bertanggungjawab menyerang dua kapal tangki minyak Arab Saudi di Teluk Aden. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Arab Saudi turut menjadi sasaran beberapa serangan peluru berpandu dan dron yang didakwa dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang disokong Iran.

Ketegangan yang semakin memuncak itu turut menjejaskan aktiviti perkapalan di laluan perdagangan utama dunia apabila jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb merosot dengan ketara berbanding paras sebelum konflik.

Iran Cadang Sekatan Baharu Di Selat Hormuz

Media Iran melaporkan draf perjanjian yang sedang dirunding bersama Oman mencadangkan kapal yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat, Israel serta negara yang dianggap memusuhi Tehran tidak dibenarkan menggunakan Selat Hormuz.

Iran juga dilaporkan bercadang mengenakan penalti sehingga 20% daripada nilai kargo terhadap kapal yang melanggar syarat perjanjian sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Perkembangan tersebut kembali mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak global, sekali gus mendorong harga minyak mentah meningkat selepas pasaran sebelum ini optimis bahawa Selat Hormuz bakal dibuka semula dalam masa terdekat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved