Iran kemuka syarat baharu kepada AS untuk buka Selat Hormuz

WorldPolitics
9 Aug 2026 • 12:40 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran kemuka syarat baharu kepada AS untuk buka Selat Hormuz

TEHERAN: Iran menetapkan beberapa syarat pada Sabtu bagi pembukaan semula Selat Hormuz, termasuk tuntutan pampasan atas kerosakan akibat perang, sekali gus merumitkan kemungkinan mencapai perjanjian untuk membuka laluan perairan yang penting kepada ekonomi dunia itu.

Teheran telah mengenakan sekatan berkesan ke atas selat berkenaan sejak Amerika Syarikat (AS)  dan Israel menyerang Iran pada akhir Februari. 

Ia juga mahu mengenakan bayaran tol bagi pelayaran melalui selat itu dan menyerang kapal yang didakwa cuba mengelak daripada menggunakan laluan yang ditetapkannya.

Serangan berterusan di selat yang sebelum perang bebas digunakan oleh kapal-kapal itu menyebabkan gencatan senjata pada April runtuh. 

Sejak itu, para pengantara menggesa kedua-dua pihak kembali kepada terma memorandum yang dipersetujui pada Jun.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, rundingan dengan Oman mengenai pelayaran dan pengurusan selat itu menghampiri peringkat akhir.

Namun, beliau menambah bahawa pembukaan semula Selat Hormuz tertakluk kepada syarat-syarat lain dan pampasan berhubung pelanggaran perjanjian pada Jun.

Ketua keselamatan Iran, Mohammad Bagher Zolghadr pada Sabtu mengemukakan senarai tuntutan bagi pembukaan semula selat itu, termasuk penamatan perang dan pencerobohan terhadap Iran dan sekutunya di Lubnan, Palestin, Yaman serta Iraq.

Beliau turut menuntut supaya sekatan laut AS terhadap Iran ditarik balik, sekatan ekonomi ditamatkan, aset Iran yang dibekukan dibebaskan dan  pampasan diberikan bagi kerosakan akibat perang, menurut kenyataan yang dilaporkan agensi berita Tasnim.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, pembukaan semula Selat Hormuz tiada kaitan dengan rundingan antara Iran dan Oman, selain menambah bahawa musuh terpaksa menerima syarat Iran bagi pembukaan selat berkenaan. – AFP

The post Iran kemuka syarat baharu kepada AS untuk buka Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved