
KUALA LUMPUR - Iran memperhebatkan kempen peluru berpandu dan dron di seluruh Teluk, menyerang infrastruktur kritikal di negara-negara jiran ketika ketegangan serantau semakin mendalam susulan perang udara yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.
Serangan Iran pada hari Ahad menyasarkan tangki bahan api di lapangan terbang antarabangsa Kuwait dan merosakkan loji penyahgaraman di Bahrain, sementara negara-negara Teluk dilaporkan telah memintas pelbagai gelombang dron dan peluru berpandu.
Serangan itu menandakan minggu kedua tindak balas Tehran terhadap negara-negara yang menjadi tuan rumah infrastruktur ketenteraan Barat.
Di Kuwait, pihak berkuasa berkata, serangan dron ke atas tangki simpanan bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, telah mencetuskan kebakaran yang kemudiannya berjaya dikawal.
AFP hari ini melaporkan, kejadian berkenaan disifatkan sebagai "penyasaran langsung infrastruktur penting".
Agensi Berita rasmi Kuwait melaporkan, perkhidmatan berjaya kecemasan mengawal kebakaran itu dan mengesahkan tiada "kecederaan yang ketara".
Walau bagaimanapun, kementerian dalam negeri negara itu berkata, dua pengawal sempadan telah terbunuh "semasa menjalankan tugas negara mereka", tanpa memberikan butiran lanjut.
Pihak berkuasa Kuwait juga melaporkan kerosakan pada beberapa kemudahan awam yang disebabkan oleh serpihan yang jatuh daripada pintasan pertahanan udara.
Sebagai tindak balas kepada situasi keselamatan yang semakin meningkat, syarikat minyak nasional Kuwait mengumumkan pengurangan pengeluaran minyak mentah secara berjaga-jaga.
Di negara jiran Bahrain, serangan dron Iran merosakkan kemudahan penyahgaraman, menurut kementerian dalam negeri negara itu, yang menuduh Tehran "secara rawak" menyasarkan infrastruktur awam.
Para pegawai kemudian berkata, kerosakan itu tidak mengganggu bekalan air atau menjejaskan kapasiti rangkaian nasional.
Serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas juga mencederakan tiga orang dan merosakkan bangunan universiti di kawasan Muharraq, kata pihak berkuasa Bahrain.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mendakwa, ia telah menyasarkan pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Juffair di Bahrain dan berkata, ia telah digunakan untuk melancarkan serangan ke atas kemudahan Iran.
Sementara itu kerajaan Arab Saudi dilaporkan berkata, sistem pertahanan udaranya memintas 33 dron yang menyasarkan beberapa lokasi, termasuk kawasan diplomatik Riyadh dan medan minyak Shaybah di tenggara negara itu.
Para pegawai pertahanan bagaimanapun melaporkan, tiada korban atau kerosakan besar.
Emiriah Arab Bersatu berkata, pertahanan udaranya bertindak balas terhadap "ancaman peluru berpandu dan dron yang masuk dari Iran", manakala Qatar melaporkan, 10 peluru berpandu balistik dan dua peluru berpandu jelajah yang dilancarkan pada hari sebelumnya sebahagian besarnya telah dipintas tanpa korban.
Serangan terbaru itu berlaku meskipun terdapat permohonan maaf yang dikeluarkan sebelum ini oleh Presiden Iran, Dr Massoud Pezeshkian kepada negara-negara jiran yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera Amerika.
Namun, beberapa jam kemudian, Iran memberi isyarat bahawa kempennya boleh diteruskan.
Pezeshkian memberi amaran, republik Islam itu "akan terpaksa bertindak balas" jika wilayah jiran digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran. - Getaran, 8 Mac 2026
