Semalam identiti Satoshi Nakamoto yang mencipta Bitcoin didedahkan sebagai seorang ahli kriptografi daripada Britain. Tujuan asal Bitcoin dibangunkan ialah bagi tujuan kebebasan mutlak daripada sistem perbankan fiat. Hari ini Financial Times melaporkan kerajaan Iran akan meminta bayaran tol untuk melepasi Selat Hormuz dibayar menggunakan mata wang kripto.
Iran telah dikenakan sekatan antarabangsa sejak November 1979 selepas Shah Reza Pahlavi digulingkan menerusi Revolusi Islam. Sistem perbankan antarabangsa tidak boleh digunakan maka pembayaran menggunakan kripto ini benar-benar memberikan kebebasan yang dijanjikan oleh Satoshi.

Iran akan menerima semua bentuk mata wang kripto. Caj yang dikenakan ialah $1 untuk setiap tong minyak yang dibawa oleh kapal pengangkut minyak. Hanya kapal yang membawa kargo dikenakan caj. Arahan pembayaran akan diberikan kepada krew menerusi emel dengan ia perlu dibayar beberapa saat selepas diterima bagi mengelakkan transaksi dikesan dan disekat.
Sebelum ini muncul laporan Iran hanya menerima bayaran tol dalam mata wang Yuan China. Iran hanya mengutip bayaran tol sejak perang bermula bagi mengumpul dana melakukan pembinaan semula infrastruktur yang rosak dibom Amerika Syarikat dan Israel.
Menerusi persetujuan gencatan senjata selama dua minggu yang dipersetujui Iran dengan Amerika Syarikat semalam, Iran dibenarkan mengutip tol di Selat Hormuz. Sejak perang bermula lebih 40 hari lalu, Selat Hormuz ditutup dengan hanya sebahagian kecil kapal dibenarkan melepasinya.
Sebanyak 7 kapal Malaysia diberikan kebenaran melepasi selat tanpa sebarang bayaran kerana Iran mengatakan Malaysia ialah negara sekutu yang baik. Sehingga semalam hanya satu kapal milik PETRONAS telah melepasi Selat Hormuz.
