Iran Musnahkan Radar THAAD AS Bernilai RM1.1 Bilion Di Jordan

WorldPolitics
9 Mar 2026 • 4:56 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

AMMAN – Iran dilaporkan berjaya memusnahkan sistem radar AN/TPY-2 milik Sistem Pertahanan Antipeluru Berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Pangkalan Udara Muwaffaq Salti, Jordan pada hari-hari awal konflik, menurut laporan Bloomberg.

Serangan itu disifatkan penganalisis sebagai antara kejayaan ketenteraan terbesar Iran setakat ini dalam konflik berkenaan.

Menurut Bloomberg, imej satelit menunjukkan serangan Iran telah memusnahkan radar THAAD yang dianggarkan bernilai AS$300 juta (RM1.1 bilion), iaitu komponen penting bagi mengarahkan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat di rantau Teluk.

Timbalan Pengarah Pusat Kuasa Ketenteraan dan Politik di Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), Ryan Brobst berkata, serangan terhadap radar tersebut memberi kesan taktikal yang besar.

“Serangan Iran ke atas radar THAAD ini mungkin menjadi salah satu serangan paling berjaya Iran setakat ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa tentera Amerika Syarikat dan sekutunya masih mempunyai radar lain yang boleh menyediakan liputan pertahanan udara dan peluru berpandu, walaupun kehilangan radar tunggal seperti itu boleh mewujudkan jurang taktikal yang signifikan.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, imej satelit komersial yang dipetik CNN menunjukkan radar AN/TPY-2 bersama peralatan sokongan yang dihasilkan oleh RTX Corp dan digunakan oleh sistem THAAD milik Amerika Syarikat telah dimusnahkan di pangkalan udara Jordan itu pada peringkat awal peperangan.

Kehilangan radar berkenaan kemudiannya turut disahkan oleh seorang pegawai Amerika Syarikat.

Data daripada FDD pula mencatatkan dua serangan Iran dilaporkan berlaku di Jordan masing-masing pada 28 Februari dan 3 Mac.

Walaupun serangan awal dipercayai berjaya dipintas, kemusnahan radar THAAD tersebut kini dilihat menandakan perubahan taktikal yang ketara dalam konflik berkenaan.

Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Terjejas

Unit THAAD milik Amerika Syarikat berperanan memintas peluru berpandu pada ketinggian atmosfera dan direka untuk menangkis ancaman yang lebih kompleks berbanding bateri pertahanan Patriot.

Dengan radar AN/TPY-2 yang kini musnah, sistem pertahanan peluru berpandu dijangka lebih bergantung kepada sistem Patriot, sedangkan bekalan misil PAC-3 sedia ada dilaporkan terhad.

Sebelum ini, radar AN/FPS-132 di Qatar, pemasangan tetap yang berbeza daripada sistem THAAD yang mudah alih, turut mengalami kerosakan akibat serangan Iran.

Sistem bernilai kira-kira AS$1.1 bilion (RM4.3 bilion) itu direka sebagai radar amaran awal untuk mengesan ancaman jarak jauh, namun tidak setepat radar kawalan tembakan.

Gabungan kemusnahan radar di Jordan, kerosakan radar di Qatar serta serangan dilaporkan terhadap terminal SATCOM di Bahrain dilihat sebagai usaha sistematik Iran untuk melumpuhkan rangkaian sensor yang menjadi ‘mata’ kepada payung pertahanan peluru berpandu di rantau Teluk. – The Malaysian Update

The post Iran Musnahkan Radar THAAD AS Bernilai RM1.1 Bilion Di Jordan appeared first on The Malaysian Update.