Iran nafi buka semula Selat Hormuz

WorldPolitics
4 Aug 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Iran nafi buka semula Selat Hormuz

WASHINGTON: Iran pada Ahad menafikan dakwaan  perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz sudah dicapai dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden, Donald Trump mengumumkan rundingan dengan Teheran disambung semula petang semalam.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, Iran dan Oman hampir mencapai persefahaman mengenai laluan perkapalan baharu melalui selat tersebut yang akan menghormati hak kedaulatan kedua-dua negara.

Namun, beliau menegaskan bahawa pengaturan sedemikian tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula yang ditutup apabila AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari lalu. Selat itu kemudian  dibuka tetapi ditutup se­mula kepada kapal-kapal musuh Iran.

Media Israel, saluran televi­syen Channel 12 melaporkan  bahawa pihak pengantara sedang berusaha menghidupkan semula memorandum persefahaman (MoU) antara Washington dan Teheran yang dicapai pada Jun, yang bertujuan memulihkan gencatan senjata serta membuka semula Selat Hormuz.

Cadangan itu termasuk memastikan laluan perairan tersebut kekal dibuka selama 60 hari tanpa dikenakan sebarang bayaran transit.

Namun, Ahli Parlimen Iran, Hassan Ghashghavi berkata, pihak pengantara sebaliknya sedang berusaha menghidupkan semula (MoU) itu dan menyifatkannya sebagai langkah awal ke arah perjanjian damai yang le­bih menyeluruh yang turut me­rangkumi peruntukan berkaitan Selat Hormuz.

“Mereka tahu isu utama, malah kunci kepada keseluruhan perkara ketika ini ialah Selat Hormuz. Jadi ya, memang terdapat pertukaran pandangan,” katanya.

AS dan Iran menandatangani perjanjian gencatan senjata pada April sebelum bersetuju dengan MoU yang diusahakan Pakistan pada Jun bagi menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, persefahaman itu gagal dipertahankan bulan lalu selepas Washington melancarkan serangan selama 13 hari berturut-turut ke atas Iran, mencetuskan serangan balas peluru berpandu dan dron oleh Teheran terhadap beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Washington menuntut jaminan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, manakala Teheran menegaskan perkapalan berhampiran pesisir pantainya perlu beroperasi di bawah satu mekanisme yang diselia oleh Iran.

AS berpendirian MoU itu membenarkan kapal menggunakan laluan selatan di Selat Hormuz, tetapi Iran menegaskan perjanjian berkenaan masih meletakkan kuasa menentukan kebenaran pelayaran kepada angkatan tenteranya.

Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dilaporkan terus meng­halang atau mengusir kapal yang cuba menggunakan laluan berhampiran pesisir Oman.

Konflik turut merebak ke Laut Merah dan Selat Bab al-Mandeb apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yemen menyerang kemudahan tenaga Arab Saudi serta cuba menyasarkan atau menghalang kapal yang mempunyai kaitan dengan negara itu.

Bagaimanapun, keadaan di rantau tersebut dilaporkan lebih tenang sejak Ahad apabila Iran dan AS tidak melancarkan sebarang serangan besar yang baharu.

Trump berkata, negara jiran Iran, termasuk Arab Saudi, turut menggesa Washington supaya tidak meneruskan serangan ke­rana mereka percaya satu perjanjian hampir dicapai.

“Mereka tidak mahu kami melakukannya, dan sejujurnya Arab Saudi juga tidak mahu. Mereka percaya perjanjian sudah hampir dimeterai berkaitan Selat Hormuz dan akhirnya pelucutan program nuklear,” katanya.

Ditanya sama ada Iran diberikan tempoh tertentu untuk mencapai persetujuan, Trump berkata, tiada tarikh akhir di­tetapkan. Trump turut me­ne­gaskan AS bersedia mengambil tindakan ketenteraan jika perlu.

“Kami bersedia pada bila-bila masa. Adakah saya lebih suka mencapai perjanjian? Ya. Saya tidak mahu membunuh orang kerana ramai yang akan terkorban dan kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.

Trump turut menyifatkan operasi yang dibatalkan itu sebagai sesuatu yang akan membawa padah besar kepada Iran, tetapi tidak menjelaskan sama ada infrastruktur tenaga negara itu menjadi sasaran. – AGENSI

 

The post Iran nafi buka semula Selat Hormuz appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved