
TEHERAN – Iran kini memperkenalkan sistem kawalan baharu di Selat Hormuz apabila semua kapal yang mahu melalui laluan itu diwajibkan mendapatkan permit khas daripada pihak berkuasa Tehran.
Media tempatan, Press TV melaporkan setiap kapal akan menerima e-mel rasmi daripada alamat info@PGSA.ir yang mengandungi syarat pelayaran serta prosedur yang perlu dipatuhi sebelum dibenarkan memasuki laluan berkenaan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha Iran memperkukuh penguasaan mereka di Selat Hormuz yang menjadi antara laluan perdagangan minyak paling penting dunia dengan hampir 20 peratus bekalan minyak global melalui kawasan tersebut setiap hari.
Kawalan Diperketat Susulan Konflik Dengan AS, Israel
Dalam masa sama, Iran turut memperketat sekatan terhadap kapal yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel susulan konflik yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.
Tehran mendakwa tindakan itu dibuat selepas AS dan Israel terus melanggar syarat gencatan senjata yang sebelum ini diusahakan Pakistan melibatkan konflik di Lubnan.
Difahamkan, Parlimen Iran kini sedang membahaskan satu rang undang-undang baharu yang bakal mengharamkan sepenuhnya kapal berkaitan Israel daripada menggunakan Selat Hormuz.
Kapal dari negara yang dianggap “tidak bermusuhan” pula mungkin masih dibenarkan melalui kawasan tersebut namun bakal dikenakan bayaran tol khas.
Ketegangan Lautan Semakin Memuncak
Ketegangan di laluan strategik itu semakin meningkat apabila tentera Iran dan AS terus berbalas amaran sejak beberapa hari lalu.
Pada Isnin, tentera laut Iran dilaporkan melepaskan dron dan peluru berpandu berhampiran kapal pemusnah AS selepas kapal itu didakwa menghampiri kawasan larangan.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf turut memberi amaran bahawa Tehran masih belum melancarkan “tindak balas penuh” terhadap tindakan AS dan Israel.
Iran dalam kenyataannya menegaskan mereka akan terus mempertahankan kedaulatan di Selat Hormuz dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar kawalan mereka di kawasan itu. – The Malaysian Update
The post Iran Perketat Kawalan Selat Hormuz, Kapal Wajib Mohon Permit appeared first on The Malaysian Update.


