
TEHERAN – Iran dilaporkan sedang menilai cadangan untuk membenarkan sebahagian kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz, namun dengan syarat pembayaran dilakukan menggunakan mata wang Yuan China.
Menurut laporan CNN yang memetik seorang pegawai kanan Iran, syarat tersebut sedang dipertimbangkan sebagai sebahagian langkah Tehran mengawal aliran kapal tangki di laluan perkapalan paling penting dunia itu.
Keputusan berkenaan dilihat berkait rapat dengan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, selain usaha Iran menyesuaikan strategi ekonomi dan keselamatannya di rantau tersebut.
Strategi kurangkan pengaruh dolar AS
Cadangan menggunakan yuan juga dikaitkan dengan usaha “penyahdolaran”, iaitu strategi untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perdagangan tenaga.
Melalui pendekatan itu, Iran berpotensi memintas sistem kewangan yang dikuasai AS serta mengelakkan sebahagian kesan sekatan Barat yang dikenakan terhadap negara tersebut.
Pada masa sama, langkah berkenaan boleh memaksa pembeli minyak membuat pilihan sama ada terus berurus niaga mengikut sistem kewangan AS atau berdepan risiko kehilangan bekalan tenaga dari Iran.
Penganalisis turut melihat pendekatan itu sebagai usaha Tehran merapatkan lagi kerjasama strategik dengan China, termasuk kemungkinan Beijing memainkan peranan lebih besar dalam keselamatan laluan Selat Hormuz.
Ketegangan meningkat di Pulau Kharg
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS Donald Trump memaklumkan bahawa serangan telah dilancarkan terhadap beberapa sasaran ketenteraan Iran di Pulau Kharg pada awal pagi Sabtu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan serangan tersebut tidak menyasarkan kemudahan minyak Iran setakat ini.
Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya laluan perkapalan di Selat Hormuz diganggu, keadaan itu boleh mencetuskan tindakan lebih besar.
Sebagai tindak balas, Markas Khatam al-Anbiya memberi amaran bahawa sebarang serangan terhadap kemudahan tenaga di Pulau Kharg akan dibalas dengan serangan terhadap infrastruktur minyak di rantau itu yang berkaitan dengan syarikat Amerika.
Terminal utama eksport minyak Iran
Pulau Kharg merupakan pusat eksport minyak paling penting bagi Iran, dengan kira-kira 90 peratus minyak mentah negara itu dihantar melalui terminal berkenaan.
Selain menjadi terminal eksport utama, pulau tersebut juga berfungsi sebagai hab industri dan pertahanan yang penting di Teluk Parsi.
Sebelum ini, The Wall Street Journal melaporkan bahawa konflik yang melibatkan AS, Israel dan Iran berpotensi membawa kepada penutupan Selat Hormuz, sekali gus memberi impak besar kepada bekalan tenaga dan pasaran minyak global. – The Malaysian Update
The post Iran Pertimbang Benar Kapal Tangki Guna Selat Hormuz Jika Bayaran Dalam Yuan appeared first on The Malaysian Update.

