
Iran Rangka Pelan Baharu Kawal Selat Hormuz
Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memaklumkan mereka kini berada di peringkat akhir persiapan bagi melaksanakan syarat operasi baharu di Selat Hormuz, laluan strategik yang hampir ditutup sepenuhnya sejak tercetusnya konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel, lapor AFP.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X pada Ahad, angkatan laut IRGC sedang melengkapkan kesiapsiagaan operasi selaras dengan pelan yang diumumkan pihak berkuasa Iran berhubung peraturan baharu di Teluk Parsi.
Dalam masa sama, pihak berkenaan memberi amaran bahawa situasi di selat tersebut tidak akan kembali seperti sedia kala, khususnya bagi Amerika Syarikat dan Israel.
Iran hanya membenarkan pergerakan terhad
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memperbaharui ancaman untuk melancarkan serangan terhadap loji kuasa serta jambatan di Iran sekiranya laluan perkapalan utama itu tidak dibuka semula.
Menurut AFP, Iran hanya membenarkan pergerakan terhad melalui laluan perairan itu sejak konflik tercetus pada 28 Februari, sekali gus menjejaskan aliran kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas global.
Agensi berita rasmi Oman pada Ahad melaporkan Iran dan Oman telah mengadakan perbincangan bagi memudahkan laluan merentasi selat berkenaan yang masih terjejas akibat konflik tersebut.
Sementara itu, ahli Parlimen Iran sejak beberapa minggu lalu mencadangkan supaya tol dan cukai dikenakan ke atas kapal yang melalui laluan perairan terbabit.
Baca juga:
