
TEHRAN – Iran memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) di Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague susulan tindakan ketenteraan Washington ke atas beberapa kemudahan nuklear negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut laporan, saman yang difailkan pada Februari lalu itu turut melibatkan isu sekatan ekonomi serta ancaman ketenteraan yang didakwa dilakukan AS terhadap Iran.
Tehran mendakwa tindakan tersebut melanggar Perjanjian Algiers 1981 selain komitmen antarabangsa AS ketika konflik selama 12 hari melibatkan Iran dan Israel pada Jun 2025.
Saluran berita rasmi badan kehakiman Iran, Mizan melaporkan bahawa kerajaan Iran menuntut mahkamah mengesahkan AS bersalah kerana campur tangan dalam urusan dalaman negara itu.
Iran turut mendesak supaya Washington menghentikan segala bentuk campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap negara berkenaan.
Iran tuntut pampasan penuh
Selain itu, Tehran menuntut jaminan bahawa tindakan sama tidak akan berulang pada masa depan serta meminta pampasan penuh atas kerosakan yang dialami akibat konflik tersebut.
Untuk rekod, Iran menandatangani Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Julai 2015 yang mengehadkan program nuklearnya sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan antarabangsa.
Bagaimanapun, AS menarik diri daripada perjanjian itu pada tahun 2018 sebelum mengenakan semula sekatan ekonomi terhadap Iran, sekali gus menyebabkan Tehran mula mengurangkan komitmen di bawah perjanjian berkenaan.
Rundingan bagi menghidupkan semula JCPOA bermula di Vienna pada April 2021, namun tiada perkembangan besar dicapai sejak rundingan terakhir berakhir pada Ogos 2022.
Dalam konflik 12 hari antara Iran dan Israel sebelum ini, AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas tiga kemudahan nuklear Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan. – The Malaysian Update
The post Iran saman AS di Mahkamah The Hague berhubung serangan kemudahan nuklear appeared first on The Malaysian Update.


