Iran Sedia Berdamai Jika Israel Hentikan Serangan - Anwar

24 Jun 2025 • 7:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar PMO

LKUALA LUMPUR - Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan serta berdamai jika Israel sanggup berhenti menyerang wilayah dihuni rakyat republik itu dan Palestin. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan tersebut diberi Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon hari ini.

Perdana Menteri berkata, Pezeshkian turut memohon jasa baik beliau untuk menyampaikan pendirian berkenaan kepada negara-negara Islam lain.

“Dr Pezeshkian memohon negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran,” katanya. 

Tegas Anwar, Malaysia tetap bertegas dengan pendirian mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut nyawa rakyat biasa dan kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta golongan saintis republik tersebut. 

“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa. 

“Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar,” katanya. 

Bagaimanpun dalam kerangka keadilan sejagat jelas beliau, Malaysia mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya. 

“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri memberitahu, Malaysia menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi. 

“Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,” katanya. - Getaran, 24 Jun 2025