Iran Sedia Hadapi Pencerobohan Darat AS, Dakwa Serangan Israel Bunuh 171 Pelajar Perempuan

WorldPolitics
7 Mar 2026 • 1:11 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan Tehran bersedia menghadapi kemungkinan pencerobohan darat oleh Amerika Syarikat (AS) ketika konflik antara Iran, Washington dan Israel terus memuncak.

Dalam satu wawancara video bersama NBC News pada Khamis, Araghchi berkata Iran tidak gentar sekiranya AS mengambil langkah tersebut.

Menurutnya, Tehran yakin mampu berdepan dengan tentera AS dan menyifatkan sebarang pencerobohan sebagai “bencana besar” kepada Washington.

“Tidak, kami sedang menunggu mereka,” katanya ketika ditanya sama ada beliau bimbang kemungkinan pencerobohan oleh AS.

Kenyataan itu muncul selepas serangan udara oleh AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari lalu, yang menurut pihak berkuasa Iran telah mengorbankan Pemimpin Tertinggi negara itu, Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan keselamatan.

Walaupun konflik semakin memuncak, Araghchi menegaskan Iran tidak pernah meminta gencatan senjata.

Beliau merujuk kepada konflik singkat dengan Israel tahun lalu dan berkata ketika itu juga Tehran tidak memohon sebarang gencatan senjata.

“Dalam konflik sebelum ini, Israel yang meminta gencatan senjata,” katanya merujuk kepada perang selama 12 hari yang menyaksikan kemudahan nuklear Iran menjadi sasaran serangan Israel dan AS.

Menurut Araghchi, objektif Iran dalam konfrontasi semasa hanyalah untuk menentang tindakan yang disifatkannya sebagai serangan haram terhadap negara itu.

“Tiada pemenang dalam peperangan ini. Kemenangan kami ialah mampu terus bertahan,” katanya.

Iran dakwa serangan sekolah bunuh 171 pelajar perempuan

Dalam pada itu, Araghchi turut menuduh Amerika Syarikat atau Israel bertanggungjawab terhadap serangan ke atas sebuah sekolah rendah di bandar Minab, selatan Iran.

Menurut beliau, serangan tersebut mengorbankan 171 pelajar perempuan.

Bagaimanapun, laporan antarabangsa turut memetik jurucakap tentera Israel yang memberi amaran bahawa Iran berpotensi memiliki sehingga 8,000 peluru berpandu balistik menjelang 2027 sekiranya program misil negara itu terus dipulihkan.

Dalam sidang media secara dalam talian kepada media berbahasa Parsi di luar negara, jurucakap itu berkata Israel mendapati Tehran telah menyambung semula sistem pengeluaran peluru berpandunya selepas konflik pada Jun 2025.

Menurutnya, Iran memiliki kira-kira 3,000 peluru berpandu sebelum perang tersebut, namun sebahagiannya telah digunakan atau dimusnahkan sepanjang konflik itu.

“Menjelang Sabtu lalu ketika Operasi Lion’s Roar bermula, Iran berjaya membina semula kira-kira 2,500 peluru berpandu melalui pengeluaran besar-besaran.

“Jika trend ini berterusan, rejim itu boleh mencapai sehingga 8,000 peluru berpandu balistik menjelang 2027,” katanya.

Israel dakwa musnahkan ratusan sasaran Iran

Israel dan Amerika Syarikat sebelum ini melancarkan serangan terkoordinasi ke atas Iran pada 28 Februari di bawah operasi yang dinamakan Operation Lion’s Roar, menyasarkan kemudahan ketenteraan dan lokasi strategik negara itu.

Menurut tentera Israel, serangan udara pada 24 jam pertama operasi tersebut mengorbankan hampir 40 pegawai kanan Iran termasuk Ali Khamenei.

Jurucakap tentera Israel berkata, sejak bermulanya perang semasa, ratusan sasaran di Iran telah diserang.

“Setakat ini kami telah menyerang 700 sasaran rejim.

“Sebanyak 300 daripada keseluruhan 450 pelancar peluru berpandu Iran telah dilumpuhkan atau dimusnahkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Tentera Udara Israel telah mencatat lebih 7,000 jam operasi sepanjang kempen tersebut, selain turut melancarkan serangan di Lubnan.

“Serentak dengan operasi di Iran, kami memusnahkan lebih 320 infrastruktur Hezbollah di Lubnan,” katanya.

Menurut beliau lagi, Israel telah menggerakkan kira-kira 110,000 anggota simpanan dan operasi ketenteraan akan diteruskan sehingga ancaman terhadap negara itu dihapuskan sepenuhnya.

Israel dakwa operasi perlu bagi tangani ancaman Iran

Dalam masa sama, jurucakap tersebut berkata operasi ketenteraan Israel dilancarkan bagi mengekang ancaman jangka panjang daripada Republik Islam Iran.

Menurutnya, Iran sejak sekian lama menyatakan hasrat untuk memusnahkan Israel.

“Objektif utama operasi ini ialah menyerang sasaran pengganas milik rejim Republik Islam dan menghapuskan ancaman serius terhadap Israel.

“Selama 47 tahun mereka menyatakan dalam media sendiri bahawa pemusnahan Israel adalah antara objektif politik dan ideologi utama mereka. Sebab itu operasi ini perlu dimulakan,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh setahun lalu sahaja Iran didakwa menyalurkan antara AS$900 juta hingga AS$1 bilion kepada kumpulan proksi di rantau tersebut termasuk Hezbollah dan Houthi. – The Malaysian Update

The post Iran Sedia Hadapi Pencerobohan Darat AS, Dakwa Serangan Israel Bunuh 171 Pelajar Perempuan appeared first on The Malaysian Update.

View Original Article