Iran sekat internet global demi halang serangan siber Israel

WorldTechnology
18 Jun 2025 • 10:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Iran putus akses ke internet global bagi lindungi rakyat daripada ancaman siber
• WhatsApp dan Telegram disekat, intranet nasional kekal beroperasi
• Israel dakwa jadi sasaran serangan balas digital, AS berisiko turut terjejas

Iran mengambil langkah drastik memutuskan sambungan ke internet global bermula Selasa malam, sebagai sebahagian usaha melindungi keselamatan dalam talian rakyatnya daripada ancaman serangan siber yang didakwa berpunca daripada Israel.

Jurucakap kerajaan, Fateme Mohajerani, menjelaskan menerusi siaran televisyen bahawa tindakan memperlahankan sambungan internet adalah bersifat “sementara, disasarkan dan terkawal, bertujuan menangani serangan siber.”

Langkah ini diambil susulan ketegangan yang memuncak sejak Israel menyerang Iran pada 12 Jun lalu. Banyak kawasan di Iran dilaporkan mengalami gangguan internet, dengan rakyat menghadapi kesukaran mengakses aplikasi penting seperti WhatsApp, peta dan perkhidmatan asas komunikasi.

Iran mahu kekang pengintipan, bukan sekat kebebasan

Kerajaan Iran turut menasihatkan rakyat supaya memadam aplikasi WhatsApp dengan mendakwa platform milik Meta itu telah digunakan sebagai alat pengintipan oleh Israel, walaupun dakwaan ini dinafikan WhatsApp. Aplikasi lain seperti Telegram turut dilaporkan telah disekat bagi tujuan keselamatan.

Menurut laporan firma keselamatan Cloudflare, dua syarikat telekomunikasi utama di Iran terputus sambungan pada Selasa. The New York Times pula melaporkan penggunaan VPN, satu-satunya jalan biasa bagi rakyat Iran mengakses laman luar seperti Facebook dan Instagram kini semakin sukar.

Meskipun tiada bukti rasmi penglibatan langsung Israel dalam gangguan ini, platform pemantauan bebas NetBlocks mengesan penurunan ketara dalam trafik internet dari Iran bermula jam 5:30 petang waktu tempatan. Media prokerajaan Tasnim melaporkan rakyat masih mempunyai akses ke rangkaian intranet nasional, walaupun ada pegawai mengakui ia mungkin beroperasi pada kapasiti lebih rendah, sekitar 20 peratus sahaja.

Iran utamakan keselamatan negara, bukan tekanan luar

Langkah Iran ini bukan bermaksud menyekat kebebasan maklumat, tetapi lebih kepada usaha mempertahankan kedaulatan siber dan mengelak serangan digital yang mampu menggugat kestabilan dalam negara.

Sejak 12 Jun, Israel dilaporkan mengalami peningkatan serangan siber sebanyak 700 peratus, dipercayai hasil tindak balas penggodam yang menyokong Iran.

Pakar keselamatan antarabangsa turut memberi amaran jika konflik terus merebak dan Amerika Syarikat mengambil tindakan ketenteraan, sistem penting di negara itu juga mungkin menjadi sasaran serangan balas oleh penggodam.

Sumber: The Verge