Iran serang pangkalan AS di Qatar

WorldPolitics
24 Jun 2025 • 2:16 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

• Iran lancar peluru berpandu ke atas pangkalan tentera AS di Qatar
• Qatar sahkan semua peluru berpandu berjaya dipintas, tiada kecederaan
• Serangan ini berpotensi jadi permulaan siri balasan terhadap AS

Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengesahkan pihaknya telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat (AS) di Qatar pada malam Isnin. Serangan itu dinamakan sebagai operasi “Pengumuman Kemenangan” dan dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas fasiliti nuklear Iran baru-baru ini.

Menurut laporan agensi berita Tasnim, beberapa suar kelihatan di ruang udara Doha dan letupan kuat turut kedengaran, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berpunca daripada peluru berpandu atau sistem pertahanan udara.

Kementerian Pertahanan Qatar memaklumkan sistem pertahanan negaranya berjaya memintas peluru berpandu tersebut. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku hasil “kesiapsiagaan dan tindakan pantas” pasukan pertahanan mereka.

Iran hantar isyarat, tapi elak kecederaan

Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menegaskan serangan itu tidak menyasarkan kawasan kediaman di Qatar dan tidak membahayakan rakyat negara tersebut.

“Tindakan ini tidak menjejaskan negara sahabat dan bersaudara, Qatar, serta rakyatnya yang mulia. Iran tetap komited mengekalkan hubungan erat dengan Qatar,” kata kenyataan itu.

Namun, kerajaan Qatar mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran kedaulatan secara terang-terangan. Sebagai langkah keselamatan, Qatar turut menutup ruang udaranya buat sementara waktu.

Balasan Iran bakal berlarutan atau sekadar isyarat?

Wartawan Al Jazeera, Ali Hashem yang membuat liputan dari Tehran berkata, “Nampaknya ini permulaan kepada siri tindak balas Iran terhadap pangkalan AS di Teluk. Buat masa ini, kita tidak pasti skop dan tempohnya sama ada ini tindakan sekali sahaja atau akan berterusan.

“Ramai penganalisis percaya ini mungkin serangan yang sudah diberitahu awal, seperti tahun 2020 ketika Iran membalas pembunuhan Jeneral Soleimani. Tapi ini masih spekulasi. Apa yang pasti, ini sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Kedutaan AS dan UK di Qatar sebelum ini turut mengeluarkan amaran keselamatan kepada warganegara masing-masing agar kekal berada di tempat perlindungan sehingga diberitahu kelak.

Apa kepentingan Pangkalan Al Udeid?

Pangkalan Udara Al Udeid merupakan fasiliti ketenteraan AS terbesar di Asia Barat, beroperasi sejak 1996 dan menempatkan hampir 10,000 tentera. Ia juga merupakan markas utama US Central Command (CENTCOM) dan pusat penting untuk operasi udara dan risikan di rantau ini.

Selain Qatar, kehadiran ketenteraan AS juga tertumpu di Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi menjadikan rantau Teluk sebagai lokasi strategik utama untuk AS.

Sumber: Al Jazeera