
TEHERAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyifatkan Perjanjian Pertahanan Mekah yang ditandatangani Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan sebagai langkah positif ke arah perpaduan umat Islam.
Bagaimanapun, dalam satu wawancara dengan penyiar berpangkalan di Qatar, Al Jazeera, beliau menyuarakan rasa tidak percaya yang mendalam terhadap Amerika Syarikat (AS) berhubung rundingan nuklear yang terhenti.
Ketika ini, Washington dan sekutunya termasuk Arab Saudi dan kerajaan Yemen yang disokong Riyadh menuduh Iran menyokong pergerakan Houthi yang melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas kerajaan beraja itu.
Houthi turut bertempur dengan pasukan yang disokong Riyadh untuk menguasai Yemen.
Pezeshkian turut menolak kenyataan yang menganggap perjanjian itu sebagai gerakan anti-Iran.
“Ini adalah langkah positif ke arah menyatukan umat Islam. Langkah ini boleh menjadi usaha untuk umat Islam duduk bersama dan bukannya berperang, serta mencapai perpaduan,” katanya.
Mengenai konflik antara pergerakan Houthi di Yemen dan Arab Saudi,, Pezeshkian menafikan tindakan kumpulan itu mempunyai kaitan dengan Iran, selain menggesa pertikaian berkenaan diselesaikan melalui dialog.
“Seorang saudara tidak sepatutnya memerangi saudara Muslimnya,” katanya kepada Al-Jazeera dalam wawacara itu yang disiarkan pada Sabtu.
Kenyataan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada Washington kerana sebelum ini menuduh Iran menyokong pergerakan Houthi yang sejak akhir-akhir ini meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Arab Saudi.
Pada Sabtu lalu, Jurucakap gabungan diketuai Arab Saudi berkata bahawa pertahanan udara negara itu memintas dan memusnahkan dua dron yang dilancarkan Houthi ke arah kawasan Riyadh.
Pertahanan udara Arab Saudi turut memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan Houthi dan menyasarkan Khamis Mushait, sebuah bandar di barat daya negara itu yang menempatkan sebuah pangkalan udara, kata jurucakap berkenaan.
Pada Julai, gencatan senjata rapuh yang dicapai pada 2022 antara Houthi dan kerajaan Yemen runtuh.
Houthi mengusir pasukan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi dari pantai Laut Merah dalam pertempuran yang mengorbankan ratusan nyawa.
Dron dan peluru berpandu Houthi turut menyasarkan lokasi di Arab Saudi, termasuk ibu negara Riyadh buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun.
Ia berlaku selepas kumpulan itu membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di Sanaa, bertentangan dengan kawalan Riyadh terhadap ruang udara Yemen, sekali gus mencetuskan satu siri serangan ke atas negara beraja tersebut.
Mengenai rundingan dengan AS, Pezeshkian berkata, Teheran tidak mempercayai Washington dan masih tidak pasti mengenai asas yang boleh digunakan untuk mencapai sebarang perjanjian.
“Kami tidak mempercayai pihak AS dan kami tidak tahu atas dasar apa perjanjian boleh dicapai,” katanya, sambil menambah Iran sedang menunggu AS menjelaskan pendiriannya mengenai cadangan terbaharu Teheran.
Beliau berkata, pihak pengantara iaitu Qatar dan Pakistan sudah menyampaikan mesej Iran kepada Washington, manakala rundingan semasa berdasarkan persefahaman yang dicapai kedua-dua pihak pada Jun.
Pezeshkian turut menolak dakwaan Teheran yang bertanggungjawab menutup Selat Hormuz, sebaliknya berkata, laluan transit melalui selat itu sebaliknya ditutup kepada Iran.
Beliau menyifatkan penutupan berkenaan sebagai reaksi semula jadi terhadap tindakan menyekat laluan Iran sendiri dan berkata,. Katanya, laluan perairan itu boleh dibuka semula kepada kapal komersial jika perang ditamatkan melalui rundingan.
Selat Hormuz merupakan laluan sempit antara Iran dan Semenanjung Arab. Ia merupakan antara laluan terpenting dunia bagi penghantaran minyak dan gas, yang menghubungkan negara pengeluar di Teluk dengan pasaran antarabangsa.
Pezeshkian turut menyifatkan AS sebagai pihak yang memulakan serangan pada 28 Februari itu mendakwa Iran tidak menyerang mana-mana negara dalam tempoh kira-kira 200 tahun.
The post Iran sokong Arab Saudi appeared first on Utusan Malaysia.

