Iran Tangguh Keputusan Sertai Piala Dunia, Tunggu Jawapan FIFA

WorldFootball
7 Apr 2026 • 8:18 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Tehran: Iran masih belum membuat keputusan muktamad mengenai penyertaan pasukan kebangsaan mereka di Piala Dunia 2026, sementara menunggu maklum balas rasmi daripada FIFA berhubung permintaan memindahkan perlawanan dari Amerika Syarikat ke Mexico.

Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali berkata, permintaan itu masih kekal namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan daripada badan induk bola sepak dunia tersebut.

“Permintaan kami kepada FIFA untuk memindahkan perlawanan Iran dari Amerika Syarikat ke Mexico masih sah, tetapi kami belum menerima sebarang maklum balas.

“Jika permintaan ini diluluskan, penyertaan Iran di Piala Dunia akan menjadi pasti,” katanya dalam wawancara yang dilaporkan Reuters.

Kebimbangan Keselamatan Jadi Faktor Utama

Menurut beliau, kerajaan Iran bersama Persekutuan Bolasepak Iran tetap meneruskan persiapan pasukan kebangsaan seperti biasa, namun keputusan akhir berhubung penyertaan masih terletak di tangan kerajaan.

Sebelum ini, Iran menggesa perubahan venue susulan kebimbangan keselamatan, terutama selepas pembabitan tentera Amerika Syarikat bersama Israel dalam konflik yang sedang memuncak di rantau berkenaan.

Malah, kementerian sukan Iran turut melarang pasukan kebangsaan dan kelab daripada berkunjung ke negara yang dianggap bermusuhan sehingga diberitahu kelak.

FIFA Kekal Dengan Jadual Asal

Bagaimanapun, Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menegaskan Iran tetap dijadualkan beraksi di Amerika Syarikat seperti perancangan asal tanpa sebarang perubahan setakat ini.

Untuk rekod, Iran dijadualkan mengharungi aksi Kumpulan G di Amerika Syarikat, menentang New Zealand dan Belgium di Los Angeles sebelum bertemu Mesir di Seattle.

Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.

Sementara itu, Donyamali menegaskan peluang Iran beraksi di Amerika Syarikat ketika ini dilihat rendah sekiranya jaminan keselamatan tidak diberikan, namun kerajaan tetap terbuka untuk mempertimbangkan penyertaan jika jaminan tersebut dipenuhi. – The Malaysian Update

The post Iran Tangguh Keputusan Sertai Piala Dunia, Tunggu Jawapan FIFA appeared first on The Malaysian Update.