Iran Tarik Diri Dari Piala Dunia FIFA 2026

WorldFootball
12 Mar 2026 • 8:59 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Istanbul - Iran tidak akan meneruskan penyertaan dalam Piala Dunia FIFA 2026 selepas Amerika Syarikat (AS) melakukan serangan udara terhadap negara berkenaan yang mengorbankan Pemimpin Agung negara itu, Ayatollah Ali Khamenei.

Memetik Anadolu Ajansi, perkembangan itu dimaklumkan oleh Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan keadaan keselamatan yang tidak sesuai untuk pasukan negara itu bertanding dalam kejohanan berkenaan.

"Negara yang bermusuhan menjadi tuan rumah Piala Dunia. Kami mengharapkan FIFA memberi maklum balas terhadap isu ini," kata beliau.

Tambah beliau, pemain pasukan kebangsaan Iran juga tidak berada dalam keadaan selamat untuk menyertai kejohanan tersebut.

Baca juga:

Iran dialu-alukan sertai Piala Dunia FIFA 2026

Sebagai makluman, Piala Dunia dijadual berlangsung pada Jun dan Julai dengan AS, Kanada dan Mexico sebagai tuan rumah bersama.

Menurut Daily Mail, Iran dijadual menentang pasukan New Zealand pada 15 Jun, dan Belgium pada 21 Jun dengan kedua-dua perlawanan itu bakal berlangsung di Los Angeles.

Pasukan kebangsaan itu turut dijadualkan bertembung Mesir pada 26 Jun di Seattle.

Sebelum ini, Presiden FIFA, Gianni Infantino menerusi media sosial, memaklumkan bahawa beliau telah bertemu Presiden AS, Donald Trump pada Selasa.

Beliau berkata, Trump mengalu-alukan penyertaan pasukan kebangsaan Iran untuk bertanding dalam kejohanan tersebut.

"Saya telah bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump petang tadi bagi membincangkan status persiapan Piala Dunia FIFA yang bakal berlangsung, serta keterujaan yang semakin dirasai ketika kita hanya berbaki 93 hari sebelum ia bermula.

"Kami turut membincangkan keadaan terkini di Iran dan hakikatnya pasukan Iran layak untuk menyertai Piala Dunia FIFA 2026.

"Ketika perbincangan itu, Presiden Trump sekali lagi menegaskan bahawa pasukan Iran sememangnya dialu-alukan untuk bertanding dalam kejohanan di Amerika Syarikat ini.

"Kita semua memerlukan acara seperti Piala Dunia FIFA untuk menyatukan semua lebih daripada sebelumnya. Saya dengan tulusnya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat atas sokongan beliau.

"Ia sekali lagi menunjukkan bahawa bola sepak menyatukan dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Amerika Syarikat dan Israel telah melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari lalu.

Serangan tersebut dilaporkan mengorbankan lebih 1,300 orang termasuk Khamenei serta lebih 150 pelajar perempuan.

Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat.